Warga emas maut motosikal ditunggang rempuh MPV

Warga emas maut motosikal ditunggang rempuh MPV

 

Seorang warga emas meninggal dunia setelah motosikal yang ditunggangnya terbabit kemalangan dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kilometer (KM) 5 Jalan Selama dekat sini.

Dalam kejadian pada pukul 12.20 tengahari itu, mangsa, Abdul Rani Mehad, 80, dari Kampung Parit Abu Hassan, Alor Pongsu meninggal dunia semasa dirawat di Hospital Parit Buntar.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mazuki Mat berkata, kemalangan berlaku apabila mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda merempuh belakang MPV Proton Exora dipandu seorang lelaki berusia 50 tahun.

Menurut beliau, semasa kejadian kedua -dua kenderaan itu datang dari arah Bagan Serai menghala ke Alor Pongsu.

“Setiba di tempat kejadian, pemandu Proton Exora telah memperlahankan kenderaannya disebabkan kenderaan di hadapannya berhenti untuk masuk ke simpang sebelah kanan.

“Pada masa yang sama, motosikal yang ditunggang Abdul Rani melanggar bahagian belakang kiri MPV Proton Exora sebelum terbabas ke bahu sebelah kiri jalan,” katanya dalam satu kenyataan.

Impak perlanggaran tersebut menyebabkanAbdul Rani cedera parah pada kepala dan bahu kanan lalu dikejarkan ke Hospital Parit Buntar manakala pemandu Proton Exora tidak mengalami kecederaan.

Bagaimana pun kata Marzuki, mangsa disahkan meninggal dunia semasa dirawat pada pukul 5 petang tadi.