Warga emas maut kes langgar lari
Seorang lelaki warga emas maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah kenderaan dalam kejadian langgar lari di Kilometer 40.6, Jalan Ipoh-Teluk Intan berhampiran Mambang Diawan di sini pada Isnin.
Dalam kejadian sekitar jam 5.40 petang itu, mangsa, Lee Ngow Chye, 64, yang bekerja sebagai tukang kebun meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Kampar, Superintenden Hasron Nazri Hashim berkata, nahas dipercayai berlaku ketika lelaki terbabit yang menunggang motosikal jenis Honda Wave dalam perjalanan dari arah Kampar ke Teluk Intan.
“Tiba di lokasi kejadian, mangsa dipercayai dilanggar dari arah belakang oleh sebuah kenderaan namun jenis dan nombor pendaftaran belum dikenal pasti.
“Mangsa cedera parah di kepala dan disahkan maut di tempat kejadian,” katanya.
Menurutnya, usaha mengesan saksi bebas dan kenderaan lain yang terlibat masih dijalankan.
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kampar untuk bedah siasat dan siasatan kes mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – SH