Warga emas maut kereta rempuh tembok pagar
Seorang lelaki warga emas maut apabila kereta dipandunya terbabas sebelum merempuh tembok pagar sebuah rumah di Jalan Persiaran Sungai Senam, di sini, semalam.
Dalam nahas kira-kira jam 6.30 petang itu, Yap Chan Seong, 79, yang memandu kereta jenis Proton Saga, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz, berkata bahagian hadapan kereta mangsa turut remuk akibat kemalangan itu.
“Mangsa yang cedera disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayat dihantar ke Unit Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun, di sini, untuk bedah siasat.
“Kenderaan mangsa yang mengalami kerosakan teruk pula akan dihantar ke PUSPAKOM untuk pemeriksaan lanjut,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BH