Warga emas jadikan ‘kandang kambing’ tempat berlindung setelah rumah diroboh pemaju
Sayu hati melihat seorang lelaki warga emas menjadikan sebuah pondok buruk yang kelihatan seperti kandang kambing sebagai tempat berlindung setelah rumahnya yang dibina di atas tanah kerajaan di Kampung Sri Keramat dekat Pasir Puteh, di sini dirobohkan pemaju.
Sejak setahun lalu, Muhammad Yusof Jidan, 66, berteduh di pondok itu yang dibina dengan tulang empat kerat menggunakan bekas kayu-kayu serta zink rumah lamanya di atas tanah orang setelah diberi keizinan.
Muhammad Yusof yang hidup sebatang kara berkata, dia yang diusir pemaju hanya menerima pampasan sebanyak RM1,000 sahaja manakala tanah ganti yang sepatutnya diterima sepertimana penghuni lain tidak diketahui statusnya hingga kini.
Dia yang berasal dari Kampung Sungai Pari antara peneroka awal perkampungan setinggan di situ yang kemudian diarah berpindah setelah tanah rumah mereka dibangunkan bagi projek perumahan tahun lalu.
“Sebelum itu saya menumpang di Surau Al Karamah, Kampung Sri Keramat sebelum Imam, Abdul Rashid Ali membenarkan saya bina pondok di atas tanahnya tidak jauh dari surau.
“Saya mandi di surau. Kalau waktu malam sakit perut saya kena pergi ke surau kerana pondok ini hanya tempat berteduh. Pada waktu siang memang berbahang dan kalau malam sangat sejuk sehingga menggigit tulang,” ujarnya ketika ditemui pemberita hari ini.
Muhammad Yusof yang hanya melakukan kerja-kerja kampung termasuk membantu di surau bergantung hidup dengan wang bantuan bulanan daripada Baitulmal sebanyak RM300 dan Jabatan Kebajikan Masyarakat berjumlah RM500.
Dia yang pernah berumahtangga bagaimanapun telah berpisah dengan bekas isteri sejak sekian lama dan mereka tidak mempunyai zuriat.
Katanya, dia telah beberapa kali mengemukakan permohonan mendapatkan tanah ganti di Pejabat Menteri Besar tetapi masih belum berjawab.
Walaupun pernah ditawarkan untuk tinggal di rumah kebajikan, Muhammad Yusof menolak kerana ingin hidup berdikari sepertimana orang-orang lain.
“Saya ingin miliki tanah sendiri, malah pemaju pernah janjikan pada setiap penduduk setinggan untuk diberi tanah ganti tapi malangnya nama saya tercicir.
“Setiap malam saya berdoa jika diberi tanah, saya akan wakafkan tanah itu kepada masjid setelah meninggal dunia nanti,” ujarnya menadah tangan memohon doa. – Utusan