Warga emas ditemukan meninggal dalam tandas

Warga emas ditemukan meninggal dalam tandas

 

Kebimbangan seorang anak selepas bapanya yang berada di tandas tidak menyahut panggilannya berakhir duka apabila lelaki warga emas itu ditemukan meninggal dunia di kediaman mereka di Taman Guru, di sini, hari ini.

Difahamkan, mangsa, Ling Chee Moh, 63, sudah beberapa jam berada di dalam tandas menyebabkan anaknya bimbang sebelum menghubungi pasukan penyelamat untuk mendapatkan bantuan.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, Balai Bomba dan Penyelamat Manjung menerima maklumat berhubung kejadian pada 9.38 pagi.

Katanya, setibanya di lokasi pihaknya mendapati seorang lelaki warga emas terkunci di dalam tandas.

“Bomba menggunakan peralatan menyelamat untuk mengeluarkan mangsa. Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM).

“Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut sebelum operasi tamat pada 10.31 pagi,” katanya.