Warga emas dapat ‘award’ setengah juta, hilang upaya seksual & murung dihina mati pucuk selepas pembedahan prostat

Warga emas dapat ‘award’ setengah juta, hilang upaya seksual & murung dihina mati pucuk selepas pembedahan prostat

 

Kerajaan gagal menerbalikkan award RM500,000 yang diberikan mahkamah rendah kepada seorang lelaki mengalami ejakulasi songsang dan kemurungan selepas pembedahan kelenjar prostat di sebuah hospital awam.

Lelaki berusia 64 tahun itu menyaman Kementerian Kesihatan, pengarah Hospital Selayang dan lima doktor atas kecuaian perubatan, lapor FMT.

Mahkamah Sesyen membuat keputusan memihak kepadanya tahun lalu, tetapi kerajaan memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Pada 17 Mei lalu, Pesuruhjaya Kehakiman, Choong Yeow Choy mengekalkan award RM150,000 atas hilang upaya kekal bagi ejakulasi songsang, RM150,000 untuk gangguan kemurungan major dan ganti rugi RM200,000.

“Retrograde ejaculation” atau ejakulasi songsang merujuk keadaan hanya sedikit atau tiada air mani dikeluarkan.

Lelaki itu yang diwakili Ganaesh Rau B.A. Ramarau menyatakan dia didiagnos dengan benjolan di kelenjar prostatnya oleh seorang doktor di Hospital Selayang pada 2016.

Menurut alasan penghakiman Mahkamah Sesyen, seorang doktor di Jabatan Urologi memberitahu dia perlu menjalani pembedahan.

Katanya, dia tidak dimaklumkan mengenai risiko berkaitan pembedahan itu, khasnya risiko ejakulasi songsang dan tiada persetujuan termaklum diperolehi daripadanya.

Plaintif berkata, dia tidak diberitahu ia pembedahan elektif dan ada pilihan rawatan kurang invasif.

Selepas pembedahan itu, lelaki terbabit mengalami “burning sensation” ketika membuang air kecil dan tidak boleh mengeluarkan air mani. Dia rasa terhina selepas keluarga melabelnya mati pucuk.

Plaintif kembali ke hospital dan hanya dimaklumkan dia mengalami komplikasi biasa selepas pembedahan sedemikian.

Tetapi, Hospital Kuala Lumpur mengesahkan dia mengalami ejakulasi songsang dan gangguan kemurungan major dengan distres keresahan disebabkan keadaannya.