Warga emas, cucu maut tercampak

Warga emas, cucu maut tercampak

 

Seorang lelaki warga emas dan cucunya maut dalam nahas membabitkan dua kenderaan di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands berhampiran Kampung Palas di sini pada Ahad.

Mangsa dikenali sebagai Alim Akai, 62, dan cucu lelaki yang belum dikenal pasti identiti berusia lingkungan12 tahun itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan di bahagian badan.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak memaklumkan sepasukan tujuh anggota bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat pada jam 10.46 pagi.

Menurutnya, kemalangan membabitkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard dan motosikal jenis Honda yang dinaiki kedua-dua mangsa.

“Ketika tiba di lokasi, kedua-dua mangsa berketurunan Orang Asli itu didapati berada dalam semak dipercayai tercampak akibat pelanggaran itu.

“Kedua-dua mangsa yang tidak sedarkan diri bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Tambahnya, kenderaan yang dinaiki empat individu termasuk seorang kanak-kanak perempuan terbalik namun tiada yang tersepit.

“Pemandu dan penumpang terselamat. seorang daripada mereka mengalami kecederaan pada bahagian muka dihantar mendapatkan rawatan.

“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Operasi tamat pada jam 11.50 pagi,” katanya.