Warga emas cedera dihempap bongkah batu

Warga emas cedera dihempap bongkah batu

‘Berpantang maut sebelum ajal’. Demikian ungkapan sesuai terhadap seorang warga emas yang cedera akibat dihempap bongkah batu besar sewaktu membersihkan kebun miliknya di Kampung Tersusun Batu 8, Ulu Kinta, di sini, hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima panggilan pada 2.18 petang sebelum anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh bergegas ke lokasi bagi menyelamatkan mangsa berusia 68 tahun itu.

“Sebaik tiba, bomba mendapati mangsa masih sedarkan diri walaupun sedang ditindih batu berkenaan pada bahagian pinggang.

“Mangsa seterusnya dibawa ke hospital menggunakan jentera EMRS (Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan),” katanya dalam kenyataan.

Difahamkan, bomba mengambil masa 20 minit bagi mengangkat batu besar berkenaan yang menghempap paras pinggang sehingga kaki mangsa.

Difahamkan batu berkenaan berukuran kira-kira satu kubik meter. – HM