Warga Bangladesh kecewa, buat pinjaman RM12,000 hanya untuk dihantar bekerja di kedai mamak

Warga Bangladesh kecewa, buat pinjaman RM12,000 hanya untuk dihantar bekerja di kedai mamak

 

Setiap orang mempunyai impian tersendiri untuk mempunyai karier yang boleh dibanggakan. Ada juga yang sanggup untuk bekerja di negara lain untuk memastikan impian mereka itu boleh menjadi kenyataan.

Kali ini, kami ingin kongsikan satu cerita mengenai seorang pekerja dari Bangladesh berusia 19 tahun yang terpaksa melalui pengalaman pahit ketika pertama kali bekerja di Malaysia.

Ini merupakan kisah Karim (bukan nama sebenar) yang dikongsikan melalui sebuah portal secara ‘anonymous‘.

Karim merupakan anak tunggal dalam keluarga. Setelah tamat sekolah menengah, dia terpaksa menyara keluarganya yang hidup papa kedana.

“Ketika itu, saya dapati sepupu-sepupu saya yang kerja di Malaysia dapat menghantar wang yang banyak kepada ahli keluarga di sini (Bangladesh). Lebih mengejutkan, mendapat berjaya mendapat gaji dua kali ganda lebih banyak daripada apa yang mereka peroleh di sini.

“Saya rasa terinspirasi dengan kejayaan mereka. Jadi, saya ingin lakukan perkara yang sama kepada ahli keluarga saya,” katanya.

Menurut Karim, pekerja dari Bangladesh perlu melalui beberapa orang perantara sebelum sampai ke agensi yang diberi kuasa di ibu negara Bangladesh, Dhaka.

“Jadi, saya menghubungi seorang ejen di bandar saya yang bekerjasama dengan sebuah agensi pengambilan di Dhaka. Walaupun saya tahu kosnya tinggi (sebanyak 283,000 Taka Bangladesh, sekitar RM12,000), saya nekad untuk ambil pinjaman kerana saya tidak mampu.

“Selepas empat bulan, ejen tersebut menelefon dan mengatakan bahawa dia telah mendapatkan pekerjaan bagi saya di sebuah hotel 4 bintang di Malaysia. Itu sahaja yang agen tersebut beritahu saya. Dia minta saya banyar wang 50% dan saya tidak pernah dapat resit sebagai bukti pembayaran,” katanya.

Karim berkata, seminggu kemudian, dia telah bertolak ke Dhaka untuk menandatangani kontrak. Walau bagaimanapun, agen meminta Karim untuk membayar sebanyak RM185 tanpa memberi sebarang penjelasan.

“Sebagai persediaan, saya menghadiri kursus untuk mempelajari undang-undang Malaysia, hak pekerja asing, adat resam, dan kehidupan seharian semasa bekerja di sana. Saya fikir inilah peluang terbaik untuk saya buat keluarga bangga,” katanya.

Pada Mac 2017, Karim telah dihantar untuk bekerja di sebuah kedai mamak di Puchong dan bukannya hotel 4 bintang seperti yang dijanjikan.

“Saya terkejut. Bagaimanapun, cubaan saya untuk menghubungi agen tersebut tidak berjaya.

“Saya tidak ada pilihan. Saya terpaksa bekerja di restoran tersebut sebagai tukang cuci pinggan mangkuk. Saya kecewa kerana telah membelanjakan sebanyak RM12,000 hanya untuk membasuh pinggan di negara lain,” katanya.

“Setiap seorang mempunyai katil dan almari pakaian. Tetapi, gaji kami akan dipotong sebanyak RM40 untuk bayaran sewa.

“Saya terpaksa bekerja setiap hari, enam hari seminggu tanpa bayaran yang setimpat. Saya bekerja dari jam 6:30 pagi hingga 6:30 petang setiap hari. Walaupun begitu, saya cuba bekerja lebih masa sebanyak mungkin.

Karim berkata, menurut Akta Pekerjaan Malaysia, bayaran bagi kerja lebih masa adalah separuh kadar gaji, dan pada hari cuti, ia adalah dua kali ganda daripada kadar gaji.

Malangnya, pengurusan tempat kerja Karim tidak mengikut undang-undang tersebut.

Karim berkata, pada suatu hari, ada beberapa pinggan yang tidak sempat dicuci. Akibatnya, pemilik kedai mamak tersebut telah bertindak melempar pinggan-pinggan tersebut kearahnya sambil memaki-hamun.

“Beberapa hari kemudian, semasa saya mencuci pinggan, dia telah menuang air dalam baldi ke atas saya. Hingga hari ini, saya masih tidak faham mengapa saya dimarahi sebegitu rupa.

“Disebabkan hal tersebut, ada beberapa orang rakan-rakan saya melarikan diri kerana tidak tahan,” katanya.

Menurut Karim, walaupun dia ingin melarikan diri, dia tidak mampu berbuat demikian kerana mempunyai hutang yang sangat banyak.

“Kalau saya cari kerja lain, itu bermaksud saya akan menambah hutang-hutang saya. Jadi, saya hanya boleh bertahan dan melunaskan hutang secepat mungkin. Adik saya sekarang sedang belajar dan saya ingin menanggungnya sehingga habis.

“Saya meninggalkan negara asal untuk mencari kerja dengan harapan dapat membanggakan keluarga. Namun, lain pula yang berlaku,” katanya.