Warga Bangladesh didenda beri suapan kepada polis

Warga Bangladesh didenda beri suapan kepada polis

 

Seorang lelaki warga Bangladesh didenda RM3,000 oleh Mahkamah Sesyen Ipoh pada Khamis atas tuduhan pilihan memberi suapan berjumlah RM200 kepada seorang anggota polis, Februari lalu.

Hakim M Bakri Abd Majid menjatuhkan hukuman itu ke atas pekerja kilang, Sirajul Nojrulislam, 42, selepas mengaku salah atas pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Hindi.

Beliau turut mengarahkan tertuduh menjalani hukuman sebulan penjara jika gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa telah memberi wang tunai RM200 kepada anggota polis berpangkat koperal sebagai balasan supaya tidak mengeluarkan saman kerana tidak memakai topi keledar ketika menunggang motosikal.

Ia merupakan satu kesalahan di bawah Kaedah-Kaedah Motosikal (Topi Keledar) 1973 dan kesalahan itu dilakukan di Jalan Batu 10, Segari di Manjung kira-kira jam 5.20 petang pada 17 Februari lalu.

Pertuduhan yang dilakukan mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan itu dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Maziyah Mansor manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah turut memerintahkan wang rasuah berjumlah RM200 berkenaan dilucuthakkan kepada kerajaan di bawah Seksyen 40(1)(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.