Waran tangkap kongsi gelap Cina di Muzium Taiping

Waran tangkap kongsi gelap Cina di Muzium Taiping

 

Dokumen waran tangkap ke atas kumpulan kongsi gelap  zaman British, Hai San dan Ghee Hin antara barangan akan dipamerkan dalam Pameran Taiping Retrospektif Sejarah di Muzium Taiping di sini mulai 20 November ini.

Pengarah Muzium Perak, Zarinah Sarifan berkata, selain dokumen tersebut antara koleksi lain barangan dari Muzium Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut dipamerkan adalah gari lama, alat pasong, pakaian polis Sikh.

Menurut beliau, semua barang sejarah  tersebut akan dipamerkan kepada umum buat pertama kalinya.

“Koleksi barangan ini dipinjam daripada Muzium PDRM untuk tontonan umum buat pertama kalinya kerana Taiping adalah ‘bandar Garison’ pada pertengahan dan penghujung abad ke 19, menjadi pangkalan bagi pasukan keselamatan seperti kepolisan dan ketenteraan.

“Simbol kepada keselamatan kuasa kolonial di utara Tanah Melayu terletak di Taiping. Menerusi pameran ini, masyarakat boleh melihat bagaimana bandar Taiping kekal relevan sebagai bandar garison hingga kini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar  mengenai pembukaan semula Muzium Perak di Taiping untuk lawatan orang awam mulai 2 November ini di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Zarinah berkata, turut dipamerkan koleksi barangan Jabatan Penjara, Kementerian Kesihatan, koleksi daripada Majlis Perbandaran Taiping (MPT) dan artifak perlombongan bijih timah.

Katanya, objektif pameran untuk menyemarak kembali pelancongan domestik negara selaras dengan pengumuman kerajaan membenarkan rentas negeri dan aktiviti lawatan ke muzium.

“Muzium Perak di Taiping akan mula beroperasi semula pada 2 November ini setelah sekian lama tidak beroperasi disebabkan pandemik Covid-19.

“Pembukaan Muzium Perak Taiping untuk lawatan awam dengan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan dan jumlah pelawat yang dibenarkan masuk hanyalah 60 orang pada satu-satu masa,” katanya.

Menurutnya, pelawat digalakkan untuk mendaftar melalui sistem e-temu janji sekurang -kurangnya sehari sebelum tarikh lawatan di laman web http://www.imm.gov.my/ms/content/janjitemu.

“Pengunjung yang datang secara walk-in juga akan dibenar masuk namun perlu mematuhi SOP  ditetapkan,” katanya.

Sementara itu Zarinah berkata,  sebanyak 11,027 pengunjung telah mengunjungi Muzium Perak di Taiping sejak Januari hingga April lepas, walaupun sasaran 50,000 pengunjung setahun.

“Pengunjung secara dalam talian pula mencatat 20,000 orang tahun ini, menunjukkan ia mendapat sambutan walaupun muzium tidak dibuka kerana pandemik Covid-19,” katanya, seperti dilaporkan Utusan.

ZARINAH Safiran menunjukkan poster Pameran Taiping Retrospektif Sejarah dalam sidang akhbar di Taiping hari ini.