Wanita warga asing ditahan curi barang kemas majikan bernilai RM15,000

Wanita warga asing ditahan curi barang kemas majikan bernilai RM15,000

 

Seorang wanita warga asing ditahan kerana disyaki mencuri barang kemas milik majikannya bernilai kira-kira RM15,000, semalam.

Suspek berusia 35 tahun ditahan di sebuah rumah dekat Pasir Putih, Ipoh, Perak pada jam 2 petang.

Ketua Polis Ipoh, Yahaya Hassan berkata, penahanan itu dibuat selepas polis menerima laporan daripada seorang wanita pada Sabtu, 3 petang.

Katanya, mangsa mengesyaki barang kemas miliknya dicuri oleh suspek yang datang menjalankan kerja-kerja pembersihan di rumahnya, di Taman Rapat Setia Baru, di sini.

“Dalam tempoh kurang daripada 24 jam selepas laporan diterima, polis menahan suspek yang baharu sahaja bekerja di rumah mangsa sejak sebulan lalu, dengan melakukan kerja-kerja pembersihan sebanyak tiga kali seminggu.

“Polis turut merampas pelbagai barang kes disyaki milik mangsa bernilai kira-kira RM13,000 dan resit pajak gadai semasa tangkapan dibuat,” katanya menurut laporan Bernama.

Yahaya berkata, suspek direman selama empat hari bermula hari ini, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan.