Wanita tertua di Malaysia sambut lebih 700 bayi
Wanita tertua di negara ini, A Annamah, yang kini berusia 110 tahun berkongsi kisahnya yang telah menyambut kira-kira lebih 700 bayi tanpa mengira bangsa ketika usia mudanya.
Beliau yang mempunyai kepakaran dalam bidang perubatan tradisional, datang ke Tanah Melayu ketika berusia 19 tahun dan bekerja sebagai penoreh getah di Kinta Valley Estet di samping merawat pekerja estet tempatan yang sakit dan menjadi bidan.
“Saya mula menjadi bidan pada usia 18 tahun. Ketika itu saya belajar menyambut bayi di India bersama ibu dan nenek di sana. Sebab itu, saya mendapat kepercayaan jiran-jiran estet untuk menyambut kelahiran bayi semasa di Kinta Valley Estet.
“Dari Batu Gajah hingga ke Tanjong Tualang, semua pekerja estet tanpa mengira bangsa mengenali saya,” katanya kepada Bernama dalam bahasa Tamil yang diterjemahkan oleh cucu lelakinya, S. Ezhilan, 41.
Annamah berkata, ketika menjadi bidan, beliau amat rapat dengan jiran-jiran setempat dan merindui suasana kemasyarakatan dan keharmonian tanpa mengira bangsa sehingga melahirkan rasa kasih dan sayang umpama keluarga sendiri.
“Dahulu, jiran-jiran saya fasih bertutur bahasa Tamil walaupun mereka berbangsa Melayu dan Cina. Musim perayaan mereka akan datang rumah saya dan meminjam sari.
“Saya rindu zaman itu. Anak-anak saya juga seronok bermain dengan mereka. Meskipun bukan musim perayaan, kami jiran-jiran sangat rapat antara satu sama lain,” jelasnya.
Annamah turut mengharapkan agar semangat muhibah serta perpaduan yang pernah dirasainya suatu ketika dahulu dapat dinikmati lagi dan diteruskan oleh generasi kini dalam mewujudkan sebuah negara yang harmoni. – SH