Wanita terkejut gandar belakang Chery Omoda 5 tiba-tiba patah ketika memandu

Wanita terkejut gandar belakang Chery Omoda 5 tiba-tiba patah ketika memandu

 

Seorang wanita mengalami insiden yang mengejutkan apabila bahagian gandar belakang keretanya tiba-tiba patah ketika sedang memandu.

Ketika kejadian, keretanya tidak mengalami sebarang gegaran, kemalangan atau melalui jalan berlubang.

Menurut Stephanie, gandar patah secara tiba-tiba menyebabkan keretanya terhenti di tengah jalan.

Pemeriksaan pada bahagian yang terjejas mendapati, hanya terdapat dia titik kimpalan dan juga kesan karat yang dipercayai menjadi punca gandar tersebut patah.

Bagaimanapun, Stephanie menuntut penjelasan lanjut daripada Chery Malaysia berhubung insiden tersebut yang berlaku pada Ahad, 28 April 2024.

“Saya bukan pakar kereta, tetapi saya ingin mendapatkan penjelasan rasional mengenai kejadian ini.

“Mungkin Chery Malaysia boleh minta pakar atau Puspakom untuk menyiasat punca sebenar insiden ini,” katanya.

Dalam masa sama, Stephanie bersyukur tiada sebarang kemalangan jiwa berlaku. Ketika kejadian, dia juga memandu perlahan dan tidak terbayangkan kesan yang berlaku jika dia sedang memandu di lebuh raya.

Kes kali kedua berlaku

Difahamkan, kenderaan itu telah dihantar ke pusat servis di Balakong. Salah seorang jurujual Chery memaklumkan kejadian itu merupakan kes yang kedua.

Kes yang pertama telah ‘diselesaikan dengan cepat dan mudah’. Namun, Stephanie tidak pasti sama kata-kata jurujual itu adalah fakta atau sekadar cuba menenangkannya.

Pihak berkenaan turut menawarkan kenderaan ganti, tetapi Stephanie menolak dan mahu menunggu penjelasan daripada pihak Chery Malaysia berhubung kejadian tersebut.

Kejadian ini menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan pengguna jalan raya dan sehingga kini Chery Malaysia masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kejadian itu.