Wanita terkejut ada suara mengajuk ketika dodoi anak, baru tahu rupanya tak elok buat bunyi ‘shushh, shushh’

Wanita terkejut ada suara mengajuk ketika dodoi anak, baru tahu rupanya tak elok buat bunyi ‘shushh, shushh’

 

Pertembungan antara alam manusia dengan alam ghaib boleh mencetuskan misteri dan 1,001 persoalan.

Terdapat beberapa faktor yang berupaya mengundang gangguan sedemikian antaranya tempat yang kotor, amalan khurafat, sejarah hitam dan mereka yang lemah semangat seperti kanak-kanak.

Melalui satu ciapan tular di laman X, seorang wanita menceritakan kejadian seram di kediamannya yang berlaku ketika dia sedang mendodoi anak kecilnya untuk tidur.

Menurutnya, dia terkejut apabila ada suara aneh yang mengikut rentak suaranya meskipun ketika itu dia hanya keseorangan di rumah.

“Ngeri betul ya hari ni. Insidennya macam ni, anak aku menangis lepas tu aku pun macam biasa buat ‘shushh, shushh’ untuk dodoikan dia.

“Tiba-tiba apabila aku dah berhenti, kedengaran ada yang sambung ‘shushh, shushh’ dekat belakang aku. Dah sudah, rumah memang aku seorang je waktu tu.

“Aku terus meremang dan ambil minyak bidara untuk sapu dekat anak aku. Mungkin sebab ‘benda’ itulah anak aku menangis secara mengejut,” ujar wanita itu.

Tambah wanita berkenaan, dia dapat merasakan rumahnya menjadi tumpuan makhluk halus sejak dia menimang cahaya mata.

“Ini bukan kali pertama, sebelum ini ada terjadi juga gangguan, semuanya bermula apabila aku dapat bayi. Bayangkan mainan yang ada rakaman tu tiba-tiba boleh berbunyi sendiri, padahal anak aku tengah tidur ni.

“Aku reda je la, nak pindah rumah tak mampu. Cuma tak sangka rumah aku boleh banyak aktiviti paranormal ni. Aku beranggapan mungkin benda ni suka main dengan bayi.

“Mata kanak-kanak pun macam terbuka dan boleh nampak benda-benda ni,” kata wanita itu menutup bicara.

Menjengah ke ruangan ciapan balas, warga maya berkongsikan petua dan pengalaman mereka dalam hal mistik.

“Kalau dengan anak, elakkan bunyi ‘shushh, shushh’ untuk dodoi sebab waktu saya pergi perubatan Islam Darussyifa, mereka sebut yang benda ni suka ikut bunyi macam tu. Lebih baik dodoi guna zikir atau selawat.

“Sama, anak saya pun suka bunyi ‘shushh, shushh’ untuk tidur tapi saya berhenti buat begitu, selepas saya nampak ada lembaga putih duduk menghadap anak waktu malam. Seram!

“Tentang mainan tu betul, setiap malam sebelum tidur saya dan suami kena buang bateri dalam semua mainan anak, kalau tak ‘benda’ tu akan datang main. Pelik sungguh perangai ‘mereka’ ni.

“Saya nasihatkan setiap kali masuk Maghrib, sapu minyak kasturi kijang dekat anak sambil baca Bismillah sebanyak lima kali. Sapu untuk diri sendiri dan juga anak, InsyaAllah tiada gangguan,” kata sebahagian pelayar memberikan pesanan.