Wanita tak pandang anak lelaki sebagai suami, anggap konten ‘mesra’ cuma seni lakonan
Seorang ibu tak pandang anak lelaki sebagai suami selepas konten-konten Point Of View (POV) antara dia dan anak sulungnya menjadi perdebatan ramai.
Memetik laporan dari Mstar, wanita yang dikenali sebagai Nurhidayah, 35 atau Dya memaklumkan yang dirinya langsung tidak mempunyai niat tidak baik sewaktu merakam video tersebut.
Menurut Dya, anak-anaknya sudah memainkan pelbagai watak dan bukan hanya sebagai seorang suami sahaja kerana merasakan mereka mempunyai bakat dalam lakonan.
“Saya buat konten tu bersama anak sulung saya berumur 14 tahun, namanya Hilman. Sebenarnya pelbagai jenis watak yang Hilman pernah bawa sebelum ni, ada watak gangster dan juga warga emas.
“Macam saya sendiri, saya pernah pegang watak sebagai budak ketika berlakon dengan anak-anak. Selain Hilman, saya ada lagi tiga anak lelaki yang masing-masing berbakat dalam bidang lakonan,” katanya.
Dalam pada itu, dia menyatakan bahawa konten-konten yang dihasilkan adalah mengikut trend semata-mata namun tidak sampai melampaui batas kerana masih waras dan tidak tergamak untuk membahayakan anak-anak.
“Konten kami ni beraneka, kami hasilkan ikut trend semasa tapi tidak akan melampaui batas, saya juga masih waras. Sebagai ibu yang melahirkan mereka ke dunia ini, mustahil saya tergamak bahayakan keselamatan anak-anak.
“Mungkin video saya itu jadi isu kerana baru-baru ini hangat tentang isu pemandu bas sekolah amang seksual dan kes liwat di rumah amal, akhirnya konten saya turut terpalit sekali,” ujar Dya.
Tambahnya, dia sudah pun mendapat rujukan daripada pihak polis dan peguam berkenaan konten-konten yang disiarkan dan mereka memaklumkan ia tidak perlu untuk diturunkan kerana tidak bercanggah dengan undang-undang.
Sekadar info, wanita terbabit telah bergelar ibu tunggal apabila suaminya, Ahmad Ernerazian meninggal dunia pada usia 42 tahun.
Selepas pemergian suami, dia ada bernikah semula dengan seorang lelaki namun rumah tangga yang terbina hanya bertahan 8 bulan sebelum mengambil keputusan untuk membawa haluan masing-masing.