Wanita OKU berlapar lebih 7 hari ditemani mayat bapa dan adik

Wanita OKU berlapar lebih 7 hari ditemani mayat bapa dan adik

 

Seorang wanita orang kurang upaya (OKU) berusia 44 tahun dikatakan berlapar lebih seminggu dengan ditemani mayat bapa dan adiknya di rumah mereka di Taman Indah, dekat Sungai Abong, di sini.

Keadaan wanita itu terbongkar selepas penduduk setempat curiga apabila terhidu bau busuk dari kediaman berkenaan, selain keadaan rumah bergelap dan sunyi sejak beberapa hari lalu.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, berkata mayat dua beranak masing-masing berusia 37 dan 76 tahun itu ditemui susulan aduan dibuat penduduk.

Katanya, siasatan awal mendapati wanita terbabit dipercayai kelaparan dan ketika ditemui keadaannya tidak bermaya.

“Kedua-dua mayat dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah untuk bedah siasat dan polis mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut.

“Justeru, kita nasihatkan orang awam tidak membuat sebarang spekulasi,” katanya melalui kenyataan hari ini.

Terdahulu, mayat dua beranak dilapor ditemui selepas penduduk curiga dengan keadaan rumah terbabit selain bau busuk yang dikesan, sebelum menghubungi sebuah pertubuhan kebajikan (NGO) yang sering berurusan dengan keluarga itu untuk mendapatkan bantuan.

Difahamkan bapa wanita OKU itu ditemui di dalam bilik air, manakala satu lagi yang juga OKU dijumpai di atas sofa.