Wanita mohon doa, adik ipar lemas & 3 anak saudara masih hilang dalam insiden kepala air di Bidor
Adik ipar ditemui lemas, seorang wanita yang juga ahli keluarga mangsa turut mohon doa orang ramai agar tiga anak saudaranya yang dilaporkan masih hilang dalam insiden kepala air selamat dijumpai.
Menerusi hantaran di Facebook, wanita dikenali Aznur Radin meminta orang ramai mendoakan agar tiga anak saudaranya iaitu Hanna Mikayla,7; Hafif Muhayat,4; Hanum Marissa,2 dijumpai dengan selamat.
Difahamkan, mereka sedang berkelah di Sungai Kenjur dekat Kampung Poh, Bidor bersama tiga individu lain yang ditemukan selamat iaitu kakaknya, Aslinda Bani,38; anak saudara, 11, dan pembantu rumah warga Indonesia,30-an.
“Mohon semua mendoakan tiga anak saudara saya akan dijumpai selamat dalam insiden kepala air di sungai Kampung Poh, Bidor sebentar tadi.
“Ibu mereka, adik ipar saya iaitu Aszura Bani isteri kepada adik saya, Azam Radin Mustapha telah dijumpai meninggal dunia.
Dalam hantaran yang sama, Aznur Radin juga berharap agar keajaiban dan kekuasaan Allah akan berlaku, sekali gus menemukan tiga anak saudaranya yang masih hilang dalam keadaan selamat.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Mohd Naim Asnawi memaklumkan, pihaknya menerima maklumat awal berkaitan kejadian itu pada jam 4.30 petang, hari ini.
“Mayat si ibu ditemukan hanyut 600 meter dari tempat mereka berkelah,”maklumnya.
“Pembantu rumah ditemukan selamat kerana sempat berpaut pada batu berjarak 100 meter dari kawasan mereka berkelah, manakala kakak dan anak saudara tidak hanyut,” katanya.
Mayat Aszura Bani dihantar ke Hospital Tapah untuk bedah siasat dan tiga mangsa selamat turut dibawa ke hospital sama untuk menerima rawatan.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan melibatkan polis, pasukan menyelamat di air (PPDA), bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan unit anjing pengesan K9 dengan radius pencarian sejauh tiga kilometer dari tempat tujuh individu terbabit berkelah.
Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) sudah didirikan di pekarangan Sekolah Kebangsaan Kampung Koh, selain kawasan kejadian dikawal ketat.
Tinjauan di lokasi mendapati, paras sungai mula menurun selepas hujan berhenti, namun arusnya kelihatan masih deras.
Maklumnya lagi, operasi SAR ditangguhkan jam 7.30 malam dan dijadual disambung semula jam 8 pagi esok.