Wanita menangis terharu, seumur hidup tak pernah makan Pizza

Wanita menangis terharu, seumur hidup tak pernah makan Pizza

 

Seumur hidup tidak pernah makan piza membuatkan penuntut di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dari China, Zhou Yu Zi atau mesra disapa Serena ini menangis ketika berpeluang menikmati juadah hidangan berkenaan.

Videonya itu mendapat perhatian selepas dikongsikan rakan baiknya, Aizat Zainal Abidin Asri, 26, di TikTok, baru-baru ini.

Bercerita lanjut, Aizat atau dikenali Coach Aizat dalam kalangan pengguna TikTok berkata, video itu dirakam ketika dia makan bersama Serena, 28.

“Pada hari berkenaan, saya dan Serena di dobi untuk mencuci pakaian. Kebetulan, saya ada beli piza dan ajak Serena makan sama.

“Waktu itu, saya nampak Serena menangis dan bila ditanya, baru dia cerita kisahnya. Rupa-rupanya, Serena menangis kerana itu kali pertama dia makan piza dalam hidupnya jadi terharu apabila dapat menikmatinya,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Aizat, Serena turut menceritakan latar belakangnya yang membuatkan dia memahami rakannya itu.

Bagaimanapun, Aizat tidak menyangka ramai salah faham dengan Serena selepas video berkenaan dimuat naik di media sosial.

“Serena bukan orang susah tetapi ramai salah anggap dengan ingat dia kaya apabila tengok dia pakai telefon pintar model luar negara dalam video itu.

“Hakikatnya, kehidupannya waktu kecil tak macam kebanyakan kita kerana keluarganya amat tegas dan pernah makan luar cuma bukan makanan barat.

“Sebaliknya, Serena hanya makan makanan dimasak di rumah dan ikutkan banyak lagi yang dia tak dapat rasa waktu membesar sebagai kanak-kanak dan juga remaja, seperti ke tapak pesta ria (fun fair) serta pantai. Mungkin sebab itu, Serena menangis kerana sedih dalam gembira,” katanya.

Aizat berkata, dia terima segala komen dilemparkan walaupun ada yang menuduhnya memuat naik video berkenaan untuk tujuan ‘viral’ (tular).

“Ada yang tak percaya apabila melihat video itu tapi saya okay saja. Apa yang penting, saya tahu kisah sebenar malah Serena adalah rakan baik saya.

“Kami berkenalan ketika mengikuti kelas kecergasan saya dan mulanya rakan biasa saja sebelum jadi rapat. Cuma saya menuntut di peringkat Sarjana Kejurulatihan Sukan manakala Serena dalam pengajian ijazah doktor falsafah (PhD) Pengurusan Sumber Manusia,” katanya.