Wanita mati dibunuh, dibakar tepi sungai

Wanita mati dibunuh, dibakar tepi sungai

 

Mayat seorang wanita ditemukan dalam keadaan terbakar dan dipercayai mangsa bunuh di kawasan tepi sungai di Kampung Talang Hulu, dekat Simpang Lawin, Kuala Kangsar, petang semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, identiti sebenar mangsa bagaimanapun, belum dikenal pasti.

Beliau berkata, panggilan berhubung penemuan mayat itu diterima daripada orang awam pada 3.05 petang sebelum anggota Unit Forensik serta Unit Anjing Pengesan (K9), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak digerakkan ke lokasi.

Katanya, hasil pemeriksaan awal di tempat kejadian mendapati, wanita dipercayai mati dibunuh dan dibakar di lokasi yang sama mangsa ditemukan.

“Daripada penelitian awal berdasarkan fizikal, mangsa dipercayai wanita berbangsa India. Bagaimanapun, identiti sebenar mangsa masih belum dikenal pasti,” katanya menerusi kenyataan malam tadi.

Katanya lagi, mayat dibawa ke Hospital Kuala Kangsar untuk bedah siasat bagi mencari punca sebenar kematiannya dengan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Justeru, beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian mahupun kehilangan ahli keluarga supaya tampil berhubung dengan mana-mana balai polis terdekat.

“Maklumat juga boleh disampaikan dengan terus menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Asisten Superintendan Mohd Subkey Alias di talian 013-9285436,” katanya, memetik laporan Harian Metro.