Wanita lahirkan bayi dengan antibodi COVID-19 selepas disuntik vaksin ketika hamil
SEORANG bayi di Amerika Syarikat telah dilahirkan dengan antibodi terhadap virus COVID-19, menurut laporan stesen televisyen WPBF.
Bayi berkenaan dikatakan telah menerima antibodi tersebut daripada ibunya yang disuntik vaksin COVID-19 ketika hamil, menurut doktor.
“Setahu kami, ini merupakan kali pertama dalam dunia seorang bayi dilahirkan ldengan antibodi COVID-19 selepas ibunya disuntik ketika hamil,” kata pakar kanak-kanak Florida, Paul Gilbert.
Wanita berkenaan, seorang petugas kesihatan, diberi suntikan vaksin keluaran Moderna ketika hamil 36 minggu.
Dia melahirkan seorang bayi perempuan pada akhir bulan Januari dan sampel darah daripada bayi tersebut diambil.
“Kami telah menguji sampel darah tersebut untuk melihat jika antibodi dari ibunya telah dipindahkan ke bayi tersebut. Ini sering berlaku dengan vaksin lain jika ia disuntik ketika seorang wanita itu hamil,” jelas Dr Gilbert.
Sebelum ini seorang wanita di Singapura yang dijangkiti COVID-19 ketika hamil melahirkan seorang bayi yang mempunyai antibodi terhadap virus berkenaan. – AA