Wanita kongsi cara rebus daging korban cepat empuk, tak perlu guna sudu atau garpu
Tinggal sehari sahaja lagi sebelum seluruh umat Islam menyambut ibadah korban, salah satu hari yang ditunggu-tunggu oleh muslimin dan muslimat di pelusuk dunia.
Pada hari tersebut, umat Islam akan berpusu-pusu melakukan ibadah korban dengan menyembelih haiwan yang dibolehkan dalam syariat agama seperti lembu dan kambing serta kerbau.
Kemudian, daging-daging korban ini akan diagihkan kepada orang ramai dan asnaf.
Ketika inilah, peti sejuk rumah anda dipenuhi dengan daging segar, bahkan lauk harian juga berasaskan daging-daging ini.
Seperti yang diketahui, daging merupakan salah satu lauk yang digemari oleh rakyat Malaysia. Daging mentah ini boleh dihidangkan dalam pelbagai menu yang cukup menyelerakan.
Walau bagaimanapun, untuk daging ia perlu menggunakan cara masak yang betul, barulah dagingnya empuk dan lembut untuk dimakan.
Lanjutan daripada itu, SK hari ini akan berkongsikan tip yang disampaikan oleh Kiena Firdaus mengenai cara memasak daging agar empuk dan lembut di bawah ini.
Rebus pakai rice cooker je, empuk elok daging
Menurutnya, salah satu cara yang berkesan membuatkan daging tersebut empuk ialah memasak menggunakan periuk nasi (rice cooker).
Jelasnya, dia terkejut daging yang direbus di dalam rice cooker lebih cepat empuk berbanding kaedah yang biasa digunakan selepas membaca tip merebus daging di dalam kumpulan Facebook.
Jelasnya, cara ini lebih menjimatkan masa serta tidak lagi risau jika air rebusan tertumpah apabila menggelegak.
“Saya cuba rebus daging guna rice cooker sebab ada terbaca saranan ahli kumpulan Facebook katanya rebus dalam rice cooker daging cepat empuk.
“Tidak perlu letakkan sudu atau garpu ke dalam periuk.
“Betul rupanya daging cepat empuk. Jimat masa dan yang penting tidak perlu risau air rebusan tertumpah apabila menggelegak,” tulisnya.