Wanita kecewa kereta baru dua bulan beli sudah rosak, alami masalah brek

Wanita kecewa kereta baru dua bulan beli sudah rosak, alami masalah brek

 

Seorang pemilik kereta Chery Omoda 5, Jc Jess, telah meluahkan rasa ketidakpuasan hatinya di Facebook berhubung kenderaan import yang baru dibelinya sejak dua bulan lalu.

Menurutnya, kereta tersebut mengalami kerosakan pada brek yang didakwa tidak berfungsi ketika dia baru sahaja keluar dari pusat servis kereta pada 6 April lalu.

“Saya berhenti di tengah jalan dan hampir sampai ke tol. Saya tidak tahu kenapa, tiba-tiba tiada brek.

“Saya baru keluar dari Pusat Servis sekarang dan tiba-tiba tiada brek di lebuh raya!! Ini hampir membunuh saya!! Ini telah mengancam keselamatan saya. Tahu tak berapa kecewa dan takutnya saya memandu tanpa adanya fungsi brek?,” katanya.

Jess menambah, keretanya yang baru berusia dua bulan telah beberapa kali pergi ke pusat servis kerana masalah brek ini.

Respon Chery Malaysia

Sementara itu dalam satu kenyataan rasmi Chery Malaysia, Naib Presidennya, Lee Wen Hsiang berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai perkara itu dan telah berhubung dengan pengadu untuk membantu menyelesaikan masalah tersebut.

“Kami ingin memaklumkan bahawa pihak Chery Malaysia mengambil serius tentang perkara ini. Keselamatan pelanggan kami adalah keutamaan kami.

“Kami telah berhubung dengan pelanggan berkenaan pada Sabtu lalu untuk menangani kebimbangannya dan seterusnya menawarkan sebuah kereta ganti kepadanya untuk kegunaan sementara.”

Lee menegaskan, adalah menjadi komitmen syarikatnya untuk menyediakan penyelesaian pengangkutan yang selamat dan diyakini.

“Kami berazam untuk memastikan semua kenderaan kami memenuhi standard keselamatan yang tinggi,” ujarnya.