Wanita kahwin dengan 3 lelaki ketika suami kerja ‘outstation’, guna nama palsu untuk bolot harta

Wanita kahwin dengan 3 lelaki ketika suami kerja ‘outstation’, guna nama palsu untuk bolot harta

 

Sudah bergelar isteri, seorang wanita tetap mahu berkahwin dengan lelaki lain.

Lebih mengejutkan, bukan seorang tetapi tiga lelaki yang dikahwininya.

Dia melakukan perkara itu ketika suaminya yang sah bertugas di luar bandar.

Memetik sanook.com pada Isnin, wanita yang berasal dari Tingkok itu bernama Chu.

Tidak mempedulikan statusnya sebagai seorang ibu kepada seorang anak perempuan, Chu memikat tiga jejaka dengan harapan dapat mengahwini mereka.

Chu dikatakan melakukan penipuan terhadap tiga lelaki berkenaan dengan menggunakan nama palsu.

Dia menjalinkan hubungan dengan setiap mangsa selama beberapa bulan sebelum berkahwin.

Bagi mengelakkan daripada mendaftar perkahwinan secara rasmi, Chu memberi alasan perlu mengekalkan status bujang untuk menerima pampasan daripada pihak berkuasa.

Namun dia tetap mencadangkan supaya majlis perkahwinan diadakan, dan Chu mengupah sejumlah orang supaya berpura-pura datang ke majlis perkahwinan.

Sepanjang penipuannya, dia juga membolot harta bernilai 1.4 bilion rupiah (RM419,000).

Mempunyai tiga suami serentak, dia terpaksa berbohong dengan dua suami lain sekiranya mahu berjumpa dengan seorang lagi suaminya.

Dia memberikan alasan perlu melakukan bisnes di luar kawasan dengan jarak jauh buat sementara waktu.

Penipuan terbongkar apabila salah seorang suaminya pergi mencarinya, dan mendapati Chu merupakan isteri yang sah kepada lelaki lain.

Mangsa kemudian menceraikan isterinya pada April lalu.

Bukan sekadar itu, dia turut membuat laporan polis mengenai penipuan Chu, yang berdepan dengan hukuman minimum penjara 10 tahun.

Susulan pendedahan itu, suami Chu yang sah turut mengetahui perbuatan isterinya.

Kisah Chu menjadi perhatian sehingga menimbulkan kekecohan dan perdebatan ramai.

Sebagai peringatan, poliandri iaitu amalan bersuami lebih seorang pada satu masa hukumnya adalah haram di sisi Islam.