Wanita baru kahwin jumpa syiling depan rumah setiap hari, jiran dedah punca sebenar
Bagi masyarakat Melayu, duit syiling yang dijumpai di hadapan kedai atau sesebuah premis menandakan terdapatnya unsur sihir.
Berbeza pula dengan situasi di China apabila kebanyakan orang tua gemar meletakkan duit syiling di hadapan rumah pasangan muda yang baru berkahwin.
Amalan tersebut dikaitkan dengan tanda kebahagiaan dan membawa tuah.
Berkongsi pengalaman di media sosial, seorang wanita berkata, halaman rumahnya sentiasa terdapat duit syiling.
Dia yang baru berpindah ke kawasan kediaman itu, pada awalnya beranggapan syiling tersebut tercicir daripada pemilik.
Namun selepas mendapati perkara yang sama berlaku hampir setiap hari, dia kemudiannya mula berasa curiga dan takut.
Susulan daripada itu, dia cuba mengendap bagi mengetahui siapa yang meletakkan syiling di halaman rumahnya.
Menurut wanita ini, perkara tersebut terbongkar ketika dia pulang daripada berjoging.
Ujarnya, selepas mengamati daripada jauh, dia terkejut apabila mendapati pelaku tersebut adalah jirannya yang telah berusia.
Bagi mendapatkan kepastian tentang tindakan itu, dia berkunjung ke rumah wanita terbabit dan mengajukan tentang amalan berkenaan.
Selepas mendengar penjelasan, dia menzahirkan rasa syukur kerana amalan tersebut adalah untuk membawa tuah dan kegembiraan buatnya serta pasangan.