Wanita dikecam kutuk Laksa Sarawak, samakan dengan bau jamu

Wanita dikecam kutuk Laksa Sarawak, samakan dengan bau jamu

 

Tular di media sosial satu video memaparkan seorang wanita perlekeh Laksa Sarawak yang popular dan berkata hidangan itu mempunyai bau sama seperti jamu.

Menerusi satu perkongsian di Facebook, Affy Johary telah memuat naik semula video wanita tersebut yang cuba memakan hidangan tersebut.

Namun begitu, apa yang membuatkan warga maya berasa berang adalah apabila wanita itu mendekatkan hidangan itu ke mulutnya sambil menutup hidung.

Manakala individu yang merakam video tersebut mengetawakan tindakan wanita itu sambil berkata hidangan itu merupakan Laksa Sarawak.

“Ni apa ni? Laksa Sarawak? Bau jamu okay. Mungkin sebab dia letak daun basil,” kata individu yang mengambil rakaman video itu.

Dalam pada itu, wanita yang cuba memakan hidangan itu kemudian menolak mangkuk yang berisi laksa itu sambil menunjukkan muka kurang senang dengan hidangan berkenaan.

Menjengah ke ruangan komen, bukan sahaja warga maya dari Borneo yang mengecam tindakan wanita tersebut malah netizen dari negeri Semenanjung turut berasa kurang senang dengan tindakannya.

Dalam pada itu, warganet dari Sarawak juga mahu wanita tersebut membuat permohonan maaf secara terbuka kerana telah menghina hidangan daripada negeri itu.

Menerusi tinjauan, pemilik asal video tersebut telah memadam hantaran berkenaan disamping menyahaktifkan akaun Facebook mereka.

Menurut Affy, individu yang memuat naik video tersebut dan wanita berkenaan mahu membuat permohonan maaf, namun mereka berasa takut untuk membuka aplikasi Facebook.