Wanita dicekup, cubaan rentas negeri untuk jumpa suami gagal
Taktik seorang wanita cuba merentas negeri dengan berbaring di dalam bonet sebuah kereta untuk berjumpa suaminya tidak berhasil apabila dicekup polis dalam sekatan jalan raya (SJR) Plaza Tol Simpang Ampat, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang itu, wanita yang ditahan berusia 28 tahun dan merupakan warga Indonesia.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, tindakan licik itu berjaya dihidu selepas penguat kuasa terlihat wanita terbabit masuk ke bahagian belakang bonet kereta jenis Bezza berkenaan sebelum tiba di SJR.
“Curiga dengan kejadian tersebut, pasukan penguat kuasa telah melakukan pemeriksaan lanjut penguat kuasa di bahagian bonet kereta tersebut sebelum menemukan seorang wanita dalam keadaan berbaring.
“Hasil soal siasat, pemandu kereta tersebut kemudian mendakwa dia melakukan perkhidmatan e-hailing dan dalam perjalanan dari Nilai, Negeri Sembilan ke Rembia di sini untuk menghantar wanita terbabit,”katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Tambahnya, pihaknya percaya di awal perjalanan wanita tersebut duduk di bahagian penumpang belakang, namun bertindak masuk ke dalam bonet kenderaan apabila menghampiri SJR.
Ujarnya, wanita tersebut mendakwa ingin ke Rembia bagi berjumpa dengan suaminya yang juga warga Indonesia untuk menyambut Hari Raya bersama selepas setahun terpisah.
“Kita difahamkan tempahan e-hailing itu telah dilakukan suami dan bayaran akan dibuat sejurus tiba di lokasi,”ujarnya. – Kosmo