Wanita dedah diganggu polis ‘miang’, terima mesej berbaur lucah

Wanita dedah diganggu polis ‘miang’, terima mesej berbaur lucah

 

Tular di laman sosial memaparkan seorang anggota polis miang yang menghantar mesej nakal kepada seorang wanita melalui sebuah aplikasi telah menjadi bualan hangat ramai.

Menerusi hantaran yang dimuat naik oleh seorang pengguna di laman X, dia berkongsi beberapa bukti tangkap layar yang menunjukkan perbualan anggota polis yang dipercayai berasal dari Kelantan itu.

Dalam perkongsian tersebut, wanita itu mendakwa mahu membuat laporan dengan mengumpul bukti yang ada namun, anggota polis tersebut seakan-akan tidak gentar dengan ugutan mangsa.

Dia meminta kepada mangsa untuk melupakan hasratnya memandangkan tiada bukti yang kukuh selain mendakwa sudah bosan dengan laporan berkaitan kes rogol, sebar gambar dan curang.

“Saya kat balai dah bosan dengar kes-kes macam ini. Kes rogol, sebar gambar, curang semua dah hadap. Setakat kes hantar sticker macam ini, tak perlu lah awak.

“Kukuh ke bukti nak buat aduan? Saya rasa awak pergi balai tak pasal-pasal kena sekolah balik daripada polis tu,” dakwa anggota polis tersebut.

Bukan itu sahaja, anggota polis tersebut dikatakan turut menghantar kandungan berbentuk lucah kepada mangsa.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen meminta agar mangsa membuat laporan kepada pihak berkuasa bagi memberi pengajaran sewajarnya kepada anggota tersebut.

Bahkan, mereka juga menyeru kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengenakan tindakan tertib terhadap anggota tersebut yang secara tidak langsung telah memalukan nama baik PDRM.

Netizen turut berpendapat supaya PDRM mengkaji semula kelayakan anggota dengan sekurang-kurangnya calon memiliki diploma untuk tahap pendidikan.