Wanita dalam dilema, suami guna taklik halang berikan anak susu jenama yang diboikot

Wanita dalam dilema, suami guna taklik halang berikan anak susu jenama yang diboikot

 

Sikap rakyat Malaysia yang sangat prihatin dengan perkembangan konflik yang berlaku di Palestin sangat membanggakan.

Bukan sahaja melakukan perarakan aman menyatakan solidariti terhadap rakyat Palestin, malahan turut sama memboikot produk yang menyumbang kepada pihak pendatang haram.

Namun begitu, sangat mengecewakan apabila ada individu yang bertindak tanpa berfikir jauh dengan meletakkan isu boikot bukan pada tempatnya.

Dalam satu hantaran seorang wanita di dalam Facebook Kumpulan Kelab Ibu Mengandung mendakwa, suaminya menyatakan sekiranya wanita itu memberikan susu yang diboikot kepada anaknya, maka akan terjatuhlah taklik.

Wanita ini turut menjelaskan, pada mulanya anaknya diberikan susu tepung yang berjenama Dupro, namun disebabkan usaha ke arah memboikot produk berkenaan, dia bertindak menukar kepada susu jenama lain.

Namun, anaknya dikatakan tidak serasi dengan susu-susu yang ditukar dan telah menyebabkan najis anaknya berdarah. Katanya, doktor telah menasihatkannya supaya menukar kepada susu lain.

Tetapi wanita ini berada di dalam dilema apabila memikirkan terikat dengan taklik yang dilafazkan oleh suaminya.

Taklik yang dilafazkan, tidak boleh ditarik balik

Mengulas lanjut mengenai isu ini, Ketua Penolong Mufti Wilayah Persekutuan, Dr. Syed Shahridzan Syed Mohamed menjelaskan bahawa taklik yang dilafazkan tidak boleh ditarik balik.

“Apabila semangat bercampur dengan emosi dan kejahilan beginilah jadinya. Ulama 4 mazhab bersepakat bahawa talak taklik yang dilafazkan tidak boleh ditarik balik. Jika apa yang ditaklikkan berlaku, maka talak tetap jatuh.

“Meskipun ada segelintir ulama yang berpendapat talak taklik boleh ditebus dengan ‘kaffarah yamin’, itu pun jika lafaz taklik diniatkan dengan tujuan sumpah(yamin), bukan niat talak.

“Namun jika lafaz itu tidak dimaksudkan sumpah, ia tetap tidak boleh ditebus. Mahkamah-Mahkamah Syariah di negeri-negeri Malaysia tidak guna pakai pandangan ini,” katanya.

Bagaimanapun katanya, beberapa kaedah yang perlu difikirkan oleh pasangan ini dan merujuk kembali apa sebenarnya maksud lafaz taklik yang diucapkan.

“Jalan penyelesaian sama ada terpaksa langgar taklik, akibatnya jatuh talak dan selepas itu rujuk kembali, atau cari helah syar’ie untuk elakkan taklik itu berlaku. Ini kena rujuk apa sebenarnya lafaz talak taklik yang diucapkan.

“Cara terbaik adalah jumpa doktor² pakar lain untuk dapat khidmat nasihat supaya bertemu solusi yang lain,” tulisnya.