Wanita dakwa terima kotak pesanan kurier ‘disarung’ seluar dalam

Wanita dakwa terima kotak pesanan kurier ‘disarung’ seluar dalam

Belum reda kisah mencampak barang pelanggan oleh pekerja sebuah syarikat kurier, timbul pula dakwaan kotak pesanan pelanggan ‘disarung’ seluar dalam wanita oleh syarikat penghantaran sama.

Kisah itu tular setelah gambar kotak berkenaan dimuat naik seorang wanita di media sosial Facebook menerusi akaun Mamaayu Admia Ayunormaslinda, sejak semalam.

Menurut wanita berusia 32 tahun itu, kotak barang yang dipesan dari Station 18 di Ipoh itu diterima suaminya kira-kira pukul 7 malam, semalam.

Katanya, ketika menerima kotak berkenaan, ia bukan sahaja dalam keadaan kemek, terbuka dan tidak dibungkus malah disarung seluar dalam berwarna merah jambu.

“Pada mulanya suami tidak sedar yang itu adalah seluar dalam sebaliknya menyangkakan ia adalah stokin.

“Dia sempat bertanya kepada pekerja syarikat berkenaan, mengapa kotak pesanan itu dalam keadaan sedemikian namun mereka mendakwa tidak tahu sebaliknya ia memang diterima dalam keadaan itu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurutnya, dia ada berhubung dengan penjual di Station 18 berhubung perkara itu yang mana mereka memberitahu telah menghantar pesanan berkenaan ke Melaka dalam keadaan baik dan berbungkus.

Katanya, dia juga ada merujuk mengenai perkara itu di pejabat syarikat penghantaran tersebut di Batu Berendam dan mereka memaklumkan akan menyiasat insiden berkenaan.

“Sebagai pembeli, saya kecewa apabila menerima bungkusan yang dipesan dalam keadaan rosak tambahan lagi ia turut disarungkan dengan seluar dalam.

“Sehingga sekarang saya tidak faham mengapa pekerja syarikat itu tidak menanggalkan terlebih dahulu seluar dalam itu sebelum menghantar pesanan kepada kami? Tindakan mereka sangat keterlaluan,” katanya.

Tambahnya, tindakannya memuat naik gambar kotak barang itu di Facebook bukanlah sengaja mencari kesempatan semasa isu mengenai syarikat kurier tersebut sedang hangat sebaliknya untuk meluahkan kekecewaannya atas perkhidmatan mereka. – UO