Wanita bergaji RM10,000 kecewa tak dapat melancong sebab suami gaji kecil

Wanita bergaji RM10,000 kecewa tak dapat melancong sebab suami gaji kecil
Isteri bergaji lebih besar daripada suami bukanlah perkara baharu dalam perkahwinan zaman sekarang.
Namun hakikatnya, bukan semua wanita sanggup hidup susah dengan suami bergaji kecil.
Seperti wanita berusia 31 tahun ini, dia mendedahkan dirinya mempunyai gaji bulanan jauh lebih tinggi daripada suaminya.
Perbezaan gaji kedua-dua mereka bukan sedikit sebaliknya berkali ganda, dengan pendapatannya mencecah lima angka.
“Saya gaji dah lebih RM10,000. Suami berusia 30 tahun gaji kira-kira RM4,000.
“Semua benda masih separuh-separuh, termasuk duit rumah,” katanya di laman sosial.
Bercerita lanjut, dia mengakui perbelanjaan untuk makan minumnya menggunakan wang sendiri, malah dibelanjakan juga untuk suami.
“Makan kebanyakannya saya beli dan kadang-kadang beli untuk suami sekali,” ujarnya.
Menurut wanita itu, dia kesal kerana sejak berkahwin, dia tidak pernah merasai kemewahan menggunakan wang suami.
Malah, dia turut terkilan kerana tidak merasai pengalaman melancong ke luar negara bersama suami.
“Travel jauh tak pernah. Hidup bersederhana je, saya mewahkan diri sendiri.
“Saya tak nak rasa sedikit sedih sebab saya tak dapat travel bersama sebab suami tak mampu,” luahnya lagi.
Dia bagaimanapun tidak menyatakan destinasi pelancongan luar negara yang diidam-idamkannya itu.
Menerusi ruangan komen, rata-rata netizen memberikan pandangan berbeza kerana menganggap membawa isteri melancong bukan sebahagian daripada nafkah yang wajib daripada suami.
Mereka juga mengkritik wanita berkenaan kerana tidak bersyukur dikurniakan seorang suami yang tidak pernah culas tanggungjawab meskipun bergaji rendah.
“Inilah masalahnya bila perempuan gaji besar. Nak travel ke luar negara tu tak termasuk dalam nafkah wajib. Kalau kau berduit lebih, sedekah la laki kau sekali pergi jalan-jalan. Kenapa berkira sangat?
“Kalau awak teringin nak travel bersama, kenapa tidak bayar perbelanjaan travel tu dapat melancong bersama dengan suami. Saya percaya jika dia mampu, mesti dia pun teringin nak bawa awak travel. Tak payah jauh-jauh, negara-negara Asia Tenggara pun banyak tempat-tempat cantik.
“Kau yang pilih untuk kedekut, lepas tu nak sedih. Tak miskinnya keluarkan duit untuk bercuti dengan suami sendiri,” demikian antara komen netizen.