Walaupun sudah mati pucuk, warga emas tetap ‘kemaruk’ langgan pelacur

Walaupun sudah mati pucuk, warga emas tetap ‘kemaruk’ langgan pelacur

 

Polis menggempur premis di lubuk pelacuran tertua di ibu negara yang masih beroperasi sehingga kini dan turut menjadi tumpuan warga emas bagi mendapatkan perkhidmatan itu.

Serbuan dekat medan selera dan bangunan di Jalan Gelang dan Jalan Kalong itu dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman hasil pendedahan eksklusif Harian Metro sebelum ini berkaitan kegiatan medan selera menawarkan khidmat seks serendah RM100.

Kawasan terbabit antara lubuk pelacuran tertua di Lembah Klang yang masih beroperasi sehingga kini malah menjadi tumpuan warga emas yang masih kemaruk layanan manja wanita warga asing dari China dan Vietnam.

Malah ada pelayan khidmat pelanggan (GRO) yang ditahan itu juga sudah berusia antara 40 hingga 50 tahun namun masih aktif menawarkan perkhidmatan terbabit.

Salah seorang pelanggan lelaki berusia 58 tahun berkata, dia berkunjung ke situ sejak muda dan hampir 20 tahun datang ke sini untuk melanggan.

“Walaupun saya sudah mati pucuk namun saya saya tetap datang ke sini bagi mendapatkan urutan badan dan memuaskan nafsu.

“Saya tidak ke medan selera itu kerana perlu mengeluarkan belanja banyak seperti makan, minum dan kalungan bunga dahulu di mana sudah tentu perlu mengeluarkan belanja sehingga 300,” katanya ketika ditemui selepas ditahan polis dalam serbuan itu.

Katanya, sebaliknya dia terus menghubungi wanita warga China yang menawarkan perkhidmatan itu dan naik ke bilik di bangunan sebelah yang disediakan.

“Sejak 20 tahun lalu saya berkunjung ke sini dan sehingga kini harganya tetap sama iaitu hanya RM100.

“Premis ini bukan baharu tetapi sudah lama. Saya pun sudah tua,” katanya.

‘Janganlah rakam gambar saya’

“Salah salahlah. Tak ada luck (tuah), kena tangkap mengaku sahajalah,”.

Itu luahan seorang pemuda dipercayai pelanggan apabila diberkas dalam serbuan di sarang pelacuran di Jalan Gelang, Pudu di sini, yang digempur pasukan polis Bahagian Pencegahan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Ketika serbuan, lelaki warga kota itu merayu tidak dirakam jurukamera Harian Metro kerana bimbang keluarganya di rumah mengetahui kegiatan tidak bermoral dilakukannya di luar.

Pekerja kilang berusia 35 tahun berkenaan menjelaskan dia mengetahui lokasi sarang pelacuran berhampiran medan selera itu selepas diperkenalkan rakan.

“Habis waktu kerja, saya minum (di medan selera), mereka (wanita dipercayai pekerja seks) datang tawar perkhidmatan dengan bayaran RM100.

“Janganlah bang (meminta supaya jurukamera tidak merakamkannya), jangan susahkan saya. Susah nanti rosakkan keluarga saya, saya punya kerja pun nanti susah. Saya tak mahu datang lagi,” katanya.

Manakala terdapat pelanggan yang berusia hampir enam dekad tidak serik walaupun dua kali sembuh daripada jangkitan seksual disebabkan bakteria chlamydia trachomatis kerana kekerapannya sebelum ini melanggani pelacur.

Malah, lelaki yang ditahan itu pesakit jantung dan turut membawa bersamanya ubat sakit jantung, tekanan darah tinggi serta kolestrol.

“Saya ‘terseksa’ batin lebih 14 tahun tidak bersama isteri. Jika isteri tanya (hal tangkapan), saya kata sebab awaklah (isterinya) saya seksa tak dapat keperluan batin. Malah kami sudah lama tidur berlainan bilik sebab dia menolak,” katanya.

Dia yang mendakwa sebagai regular customer menjelaskan dia tidak melalui mana-mana orang tengah untuk mendapatkan ‘wanita penghibur’ sebaliknya menghubungi terus wanita dimahukan.

Sementara itu, seorang wanita warga China yang kudung tangan kanan sejak berusia 15 tahun antara wanita ditahan dalam serbuan.