Wakil rakyat perlu pamer politik matang beraras tinggi, titah Sultan Perak

Wakil rakyat perlu pamer politik matang beraras tinggi, titah Sultan Perak

 

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mengingatkan kesemua 59 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri itu mempamerkan semangat politik matang beraras tinggi dengan terus memberi kerjasama terhadap usaha dilaksanakan kerajaan negeri.

Baginda bertitah, langkah dirintis Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad ketika ini yang mengenepikan diskriminasi sama ada Ahli Dewan dari parti pembangkang atau pemerintah merupakan langkah berani memperkenalkan budaya baharu dalam pentadbiran negeri.

Menurut baginda, langkah tersebut mungkin permulaan yang kecil, tetapi jika terus disuburkan akan membantu melonjakkan budaya politik baharu aras tinggi yang kurang berkonfrontasi sifatnya.

“Setiap Ahli Dewan hendaklah menyambut langkah tersebut dengan menunjukkan sikap timbal balik yang menghargai budaya baharu ini dengan mempamerkan semangat politik matang beraras tinggi, saling bekerjasama, menghormati dan saling membantu usaha-usaha yang dilaksanakan untuk kepentingan negeri dan kepentingan rakyat.

“Di samping sama-sama berusaha memupuk semangat perpaduan dan kewarganegaraan antara rakyat berbilang kaum yang menganut pelbagai agama, budaya dan menguasai pelbagai bahasa,” titah baginda pada Istiadat Pembukaan Persidangan Tahun Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ke-14 di sini pada Rabu.

Sultan Nazrin turut menzahirkan ingatan agar semua Ahli Dewan terus merintis jalan meminimumkan perselisihan politik demi kesejahteraan negeri dan rakyat.

Baginda bertitah, demi kepentingan rakyat, agenda kemakmuran ekonomi, pembangunan negeri dan kesejahteraan sosial perlulah wajib diutamakan.

“Menteri besar ketika membentangkan belanjawan 2021, telah mengumumkan peruntukan saksama untuk semua 59 Ahli Dewan Negeri.

“Semua Ahli Dewan juga dijemput hadir dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah, Jawatankuasa Kumpulan Fokus Daerah dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah.

“Langkah tersebut telah memungkinkan semua Ahli Dewan mengambil bahagian secara langsung lagi membina untuk mencari formula memenuhi keperluan rakyat secara lebih berkesan dan lebih bermakna,” titah baginda.

Dalam perkembangan sama, Sultan Nazrin menekankan bahawa Dewan Negeri merupakan tempat yang membolehkan rintihan rakyat didengari melalui suara Ahli-ahli dewan yang telah dipilih dan mendapat mandat rakyat semasa berlangsungnya pilihan raya.

Baginda bertitah, dalam negara yang mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan demokrasi berparlimen, Dewan Negeri sebagai sebuah badan perundangan berperanan penting untuk mengukuhkan amalan demokrasi mengimbangi peranan cabang eksekutif terutama untuk menyemak, membahaskan dan meluluskan perbelanjaan negeri.

“Alhamdulillah, dengan penentuan Ilahi, Mesyuarat Pertama, Tahun Keempat, Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan ke-14 ini dapat dilangsungkan meskipun menghadapi penangguhan disebabkan Proklamasi Darurat yang meletakkan negara berada dalam darurat antara 11 Januari sehingga 1 Ogos 2021,” titah baginda.

Persidangan Dewan Negeri Perak berlangsung selama empat hari bermula Rabu sehingga Isnin depan.

Sumber: Sinar Harian