Wajib kibar bendera negeri pada premis sempena Hari Keputeraan Sultan Perak

Wajib kibar bendera negeri pada premis sempena Hari Keputeraan Sultan Perak

Semua bangunan dan premis sama ada dimiliki kerajaan, swasta mahupun persendirian di seluruh Perak diwajibkan mengibarkan bendera negeri.

Ia bersempena dengan sambutan Hari Keputeraan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang akan disambut pada 6 November depan.

Justeru Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menyarankan perkara sama selain menambah pemilik premis di bandar raya ini yang ingkar bakal berdepan tindakan kompaun.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata tindakan tersebut akan diambil sekiranya tindakan melalui nasihat tidak dipatuhi pemilik.

“Tindakan kompaun akan diambil oleh pihak MBI terhadap pemilik premis perniagaan yang tidak mematuhi arahan mengibarkan bendera negeri Perak di premis masing-masing.

“Tindakan kompaun adalah langkah terakhir yang akan diambil oleh MBI setelah usaha menasihati gagal diikuti oleh pemilik premis perniagaan di Bandaraya Ipoh,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya pengibaran bendera Perak di premis masing-masing adalah lambang taat setia kepada Raja Pemerintah.

“Untuk menceriakan suasana sambutan, bangunan-bangunan kerajaan dan premis perniagaan digalakkan menyalakan lampu di bangunan masing-masing sehingga pukul 12.00 tengah malam pada malam 5 November,” tambahnya lagi.

 

Sumber: Perak Today