Vrindavan, bandar ribuan janda berlindung selepas disisih keluarga
Budaya serta tradisi masyarakat India merupakan antara salah satu budaya tertua di dunia.
Majoriti penduduk di India menganuti agama Hindu yang merupakan antara agama tertua dunia yang masih wujud. Seperti kebanyakan agama, Hindu juga mempunyai beberapa upacara dan kepercayaan.
Di sesetengah kawasan di India, terdapat kepercayaan turun-temurun yang menganggap bahawa seorang balu atau wanita yang kematian suami akan membawa sial.
Wanita-wanita ini akan dicemuh oleh masyarakat, disisihkan oleh ahli keluarga, dan lebih malang lagi mereka akan dihalau oleh anak-anak sendiri.
Golongan janda ini tidak mendapat tempat di dalam masyarakat, tidak kira berapa usia mereka.
Di daerah atau bandar-bandar besar seperti Bombay dan New Delhi, masalah ini tidak begitu ketara. Tetapi, lebih kerap berlaku di daerah-daerah terpencil atau pedalaman yang mana kebanyakan daripada mereka mempunyai pegangan agama yang lebih kuat.
Mereka yang disisihkan keluarga ini akan berhijrah ke bandar Vrindavan, yang turut dikenali kota suci, terletak di daerah Mathura Uttar, Pradesh.
Janda-janda ini percaya bahawa jika mereka meninggal dunia di kota suci itu, nasib malang mereka dapat dihentikan dalam kehidupan yang akan datang.
Menurut aktivis Pusat Penyelidikan Sosial India, situasi ini berlaku bukan disebabkan oleh kepercayaan agama semata-mata, tetapi ibu tunggal ini dipinggirkan kerana tradisi secara turun-temurun.
Malahan, mereka juga dianggap sebagai bebanan oleh ahli keluarga masing-masing yang tidak sanggup untuk menampung kos kehidupan janda-janda ini.
Berdasarkan statistik, penduduk di Vrindavan telah mencecah 60,000 orang dan hampir seluruh daripadanya adalah janda.
Rumah ibadat di sana menjadi tempat tinggal golongan ini sehingga menjadi sesak dan ada yang terpaksa hidup merempat dan bergelandangan.
Mereka terpaksa mengemis untuk mencari sesuap nasi. Ada pula yang terpaksa menyanyikan lagu memuji Tuhan selama tujuh hingga lapan jam untuk mendapat upah secawan beras dan dua atau tiga Rupee sehari.
Namun, tidak semua yang hampir berputus asa. Di sana ada juga tertubuhnya komuniti janda yang mana sebahagian besar berhasil bangkit dari kehidupan dan keluar dari pengasingan mereka.
Walaupun sekarang ini stigma terhadap janda semakin berkurangan dengan kerajaan India cuba sedapa upaya menolong golongan ini, tetapi disebabkan jumlah mereka terlalu besar, sedikit sukar untuk mencapai sasaran selengkapnya.
Banyak juga pertubuhan kemanusian yang turut tampil membantu golongan ini selain meningkatkan kesedaran dan toleransi bagi orang-orang yang didiskriminasikan ini.