Volunteer Tourism: Cadangan Nazri kejam, umpama kenakan bayaran untuk ziarah jenazah

Volunteer Tourism: Cadangan Nazri kejam, umpama kenakan bayaran untuk ziarah jenazah

 

Selain pemimpin, majoriti rakyat di negara ini meluahkan kekecewaan mereka mengenai cadangan mantan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Berdasarkan tinjauan di media sosial, orang ramai tidak bersetuju terhadap cadangan Mohamed Nazri yang juga Ahli Parlimen Rengas agar banjir yang melanda negara dijadikan produk ‘pelancongan kesukarelawanan’.

Seorang pengguna Facebook, Raja Gelap berkata, cadangan tersebut sangat kejam dan boleh diumpamakan seperti mengenakan bayaran untuk menziarah jenazah.

“Daripada jadikan ianya pesta, dengan kerajaan nak kutip duit semasa rakyat ditimpa musibah, kan lebih baik kalau kerajaan persiapkan jentera untuk bantu rakyat.

“Pelik manusia sebegini masih diberi peluang untuk berada dalam arena politik Malaysia. Sepatutnya dah lama dilenyapkan,” katanya menerusi satu perkongsian di Facebook.

Tegasnya lagi, banjir yang melanda Malaysia bukan bah air jernih sebagaimana yang berlaku di luar negara tetapi banjir lumpur.

“Lumpur pula datang bersekali dengan kayu balak. Banjir yang berlaku juga ada meragut nyawa. Bukan sesekali tapi setiap kali. Bukan hanya seorang dua tapi berbelas bahkan berpuluh.

“Jadi banjir yang berlaku di negara kita bukannya indah tetapi musibah. Cuba beritahu aku, berapa ramai manusia berakal senget yang hendak berpesta tatkala musibah sebegini melanda?” soalnya.

Kejadian banjir yang bermula 18 Disember 2021 telah menyebabkan lebih 48 orang terkorban manakala kerugian yang ditanggung berjumlah berbilion ringgit. - Gambar fail
Kejadian banjir yang bermula 18 Disember 2021 telah menyebabkan lebih 48 orang terkorban manakala kerugian yang ditanggung berjumlah berbilion ringgit. – Gambar fail

Menurut Raja Gelap lagi, kerajaan sepatutnya melakukan persediaan rapi bagi menangani situasi tersebut memandangkan sudah diketahui banjir sememangnya akan berlaku setiap tahun.

“Kenyataan Nazri membawa makna setiap tahun kerajaan tahu banjir akan melanda. Jadi jika begitu, sepatutnya setiap tahun kerajaan telah bersedia untuk hadapi bencana ini.

“Tapi kenapa yang berlaku adalah sebaliknya?” soalnya.

Dalam pada itu, pengguna Twitter, Mkhairulazri turut mempersoalkan tindakan Mohamed Nazri yang juga seorang wakil rakyat boleh terfikir cara untuk mendapatkan wang atas nama ‘Pelancongan Kesukarelawanan’.

“Tahun lepas berapa puluh orang mati? Bilion nilai kemusnahan yang rakyat kena tanggung? Sampai sekarang masih ada yang tak dapat balik kereta, pinjam kereta orang.

“Masih menumpang rumah saudara mara pun ada, tahan hati untuk pulih semula. Takkan tak ada sensitiviti dalam kepala otak kau tu,” katanya, memetik Getaran.

Isu banjir sepatutnya ditangani bersama kerajaan dan agensi berkaitan dengan sebaiknya memandangkan bencana itu berlaku setiap tahun. - Gambar fail
Isu banjir sepatutnya ditangani bersama kerajaan dan agensi berkaitan dengan sebaiknya memandangkan bencana itu berlaku setiap tahun. – Gambar fail

Meskipun Mohamed Nazri dilihat cuba berbicara mengenai Pelancongan Kesukarelawanan atau Volunteer Tourism (VT) seperti dipromosikan negara jiran, Vietnam dan Thailand, Mkhairulazri berkata, cadangan itu tetap tidak masuk akal.

“Kalau kau sebut nak buat VT binatang macam jaga Orang Utan ke, atau ajar programming kat budak-budak flat ke, VT periksa giigi budak pedalaman ke, aku boleh faham lagi.

“Tapi bila kau kata VT banjir, kau pusinglah satu dunia, check destinasi top VT ni, tak pernah kerajaan depa promote atau buat. VT atas kegagalan mengatasi isu yang berlarutan puluhan tahun ni woi,” katanya.

Malah katanya lagi, isu banjir sepatutnya ditangani bersama kerajaan dan agensi berkaitan dengan sebaiknya memandangkan bencana itu berlaku setiap tahun.

“Kita banjir ni dah berpuluhan tahun, takkanlah masih kata isu banjir sebagai satu benda tak dijangka, banyak benda kot boleh perbaiki.

“NADMA, Disaster Risk Reduction Agenda tu semua apa guna? Hiasan je ke?” soalnya.

Seorang lagi pengguna Twitter, DaliaJasmin turut mempersoalkan bayaran bantuan ganti rugi buat mangsa banjir pada Disember tahun lalu yang masih belum diterima sehingga hari ini.

“Dah enam bulan masih tak dilunaskan. Di Selangor sendiri, beribu rakyat dah ke Bangunan ICU untuk bertanyakan bantuan tersebut,” katanya.

“Apa yang si b**** tu tahu pasal kesusahan rakyat. Negara dalam krisis boleh melancong ke Perancis,” kata pula Changtzeyoung.

“Dia akan claim media putar belit kenyataan dia nanti selepas dikecam ramai,” kata TT.

Terdahulu, Mohamed Nazri dipetik sebuah portal bahasa Inggeris sebagai berkata, banjir yang melanda negara setiap tahun berpotensi untuk menjadi tarikan pelancong.

Menurut beliau, cadangan itu bukan mengenai pelancong datang semata-mata untuk berseronok, tetapi mereka juga boleh belajar membantu dengan kerja sukarelawan semasa banjir.

Beliau turut memberi contoh daerah Kuala Krai, Kelantan pada 2014 disifatkan seperti ‘pesta’ semasa banjir.

Rumah pusaka yang berusia lebih 50 tahun ini hanyut dibawa arus ketika banjir melanda di Batu 18, Kampung Jawa, Hulu Langat, pada 20 Disember 2021.