Logo, maskot Visit Malaysia 2026 raih pujian ramai
Logo, maskot Visit Malaysia 2026 raih pujian ramai
Perdana Menteri, Dato Seri Anwar Ibrahim telah melancarkan Kempen Melawat Malaysia 2026 (Visit Malaysia 2026) di Hangar 6, Kompleks Kejuruteraan MAB, KLIA semalam.
Menerusi majlis tersebut, logo, maskot, lagu tema dan reka bentuk pesawat khas Visit Malaysia 2026 turut dilancarkan.
Menurut Tourism Malaysia, logo Visit Malaysia 2026 mengetengahkan kekayaan budaya Malaysia selain meletakkan keindahan semula jadi dan daya tarikan global.
Manakala lagu tema yang berjudul “Surreal Experiences” pula mempromosikan pelbagai keunikan yang ada di Malaysia bagi menarik pelancong luar negara.
Dalam pada itu, maskot beruang matahari yang diberi nama Wira dan Manja mendapat tumpuan apabila tampil dengan animasi comel sambil mengenakan pakaian bercorak sama seperti logo yang dilancarkan.
“Beruang Matahari Malaya, spesies terancam yang membanggakan dan simbol komitmen Malaysia terhadap pemuliharaan hidupan liar, telah diguna pakai sebagai ikon rasmi untuk kempen tersebut.
“Direka dalam gaya animasi yang menggembirakan, Beruang Matahari Malaya bertujuan untuk menarik perhatian semua peringkat umur, membangkitkan rasa kemesraan dan kegembiraan, serta meningkatkan lagi imej Malaysia sebagai destinasi yang mengalu-alukan pelancong,” maklum Tourism Malaysia menerusi siaran media di laman sesawang rasmi agensi tersebut.
Sementara itu, Anwar dalam majlis pelancaran tersebut berkata beliau mengharapkan tiada pengecualian terhadap mana-mana negeri selari dengan lagu tema Visit Malaysia 2026 yang bersifat inklusif.
“Dengan adanya program ini, kita berusaha memastikan setiap negeri tanpa pengecualian bersedia menjadi destinasi pelancongan utama tahun ini dan pada masa hadapan. Saya juga meminta semua kementerian memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan pelaburan ekonomi supaya tiada negeri yang tersisih atau tertinggal,” ucapnya.
Menjengah ke laman X, logo serta maskot rasmi Visit Malaysia 2026 menjadi tumpuan apabila kedua-duanya tampil unik dan menarik. Bukan itu sahaja, pemilihan beruang matahari malaya turut menjadi satu kejutan apabila ramai yang tidak mengetahui kewujudan spesis beruang paling kecil di dunia itu.
“Typeface dia segar dan moden. Syabas untuk pereka grafik dan pasukan yang terlibat,” puji warga maya.
“Beruang tu comel. Rekaan batik nampak segar,” puji seorang lagi.
“Comel. Ingat masa pelatih di Zoo Negara. Setiap hari beri makan beruang matahari. Pandai lambai-lambai tangan,” kongsi salah seorang warga maya.