Panjang melintang seperti ‘barisan keretapi’, reka bentuk pangsapuri ini undang pelbagai reaksi
Panjang melintang seperti ‘barisan keretapi’, reka bentuk pangsapuri ini undang pelbagai reaksi
Baru-baru ini, sebuah projek pangsapuri yang dikenali sebagai Pangsapuri Idaman BSP di Bandar Saujana Putra menjadi tular di media sosial.
Dengan harga mampu milik bermula RM234,000 untuk unit seluas 1022 kaki persegi, projek ini kelihatan menarik pada awalnya.
Tetapi, rupa bentuk rekaannya yang unik – panjang melintang seperti “barisan kereta api” – telah mencetuskan pelbagai persoalan di kalangan netizen.
Salah satu keluhan utama yang muncul dalam komen adalah isu tempat letak kereta yang jauh daripada unit penghuni, terutamanya untuk penghuni yang berada di hujung blok.
Ada yang bergurau, tinggal di Pangsapuri Idaman BSP boleh “kurus dalam sebulan” kerana jarak berjalan kaki dari tempat letak kereta ke unit kediaman boleh jadi jauh.
Namun, ada yang menangkis dakwaan ini dengan menjelaskan bahawa setiap unit disediakan dua tempat letak kereta: satu di tempat letak kereta bertingkat, dan satu lagi di luar bangunan.
Seorang pengguna Facebook turut mempersoalkan rasional di sebalik reka bentuk bangunan ini. Antara spekulasinya termasuk:
Adakah ini disebabkan syarat tanah yang panjang tetapi sempit? Adakah ia rekaan paling menjimatkan untuk pemaju? Adakah pembeli tidak sedar mengenai isu rekaan ini semasa membuat tempahan?
Persoalan-persoalan ini menimbulkan perbincangan di kalangan orang ramai, yang mana ada yang menyalahkan pemaju kerana tidak mengambil kira keselesaan pembeli.
Menariknya, pangsapuri ini dijual dengan nilai pasaran sekitar RM300,000 walaupun harga asalnya hanya RM234,000.
Bagaimanapun, terdapat laporan bahawa projek ini sudah mula dilelong, walaupun ia baru siap.
Hal ini menimbulkan tanda tanya besar: Adakah projek ini terlalu “viral” sehingga pembeli tidak melakukan kajian terperinci sebelum membeli?
Pelbagai komen di media sosial, ada yang menyokong dan menganggap harga mampu milik ini sesuai untuk keluarga muda yang baru ingin memiliki rumah sendiri.
Namun, ramai yang menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap isu jarak dan kemudahan.
Seorang pengguna menulis, “Parking bertingkat pun jauh. Kalau macam ni, lebih baik beli rumah landed yang dekat dengan kereta.”
Yang lain pula menyatakan, “Kalau untuk harga macam ni, berbaloi asalkan tahu cabaran sebelum pindah.”