Viral didakwa tidak ikut SOP, MKN arah KKMM siasat rakaman program hiburan libatkan 50 juri

Viral didakwa tidak ikut SOP, MKN arah KKMM siasat rakaman program hiburan libatkan 50 juri

Majlis Keselamatan Negara (MKN) sudah mengarahkan supaya siasatan dilakukan ke atas sebuah rancangan hiburan terbitan syarikat penyiaran swasta susulan dakwaan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP).

Ketua Pengarahnya, Datuk Mohd Rabin Basir, berkata siasatan ke atas rancangan itu akan dikendalikan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM).

“Kita sudah maklumkan perkara ini kepada KKKM dan kementerian berkenaan sedang meneliti keseluruhan aspek rakaman program.

“KKMM akan mengambil tindakan sewajarnya, jika mereka mengenal pasti berlaku pelanggaran apa-apa SOP sepanjang rakaman program terbabit,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Beliau mengulas dakwaan rakaman musim pertama rancangan hiburan, menampilkan 50 juri yang dilihat tidak memakai pelitup muka sepanjang rakaman dibuat.

Difahamkan, rakaman program itu dibuat ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dikuatkuasakan sebelum ini, iaitu antara 3 Mac hingga 11 April lalu.

Mohd Rabin berkata, tindakan penguatkuasaan masih boleh diambil jika berlaku sebarang ketidakpatuhan SOP ditetapkan, walaupun rakaman program terbabit sudah selesai.

“Rakaman rancangan ini dipercayai dibuat ketika arahan PKPP dikuatkuasakan sebelum ini, tetapi tetap ada syarat perlu dipatuhi seperti pemakaian pelitup muka dan sebagainya.

“Kalau ada pelanggaran dia boleh diambil tindakan. Walaupun benda itu (rakaman program berkenaan) sudah berlaku, ia timbul di media atau sebagainya, polis tetap akan siasat,” katanya.

Sumber: Berita Harian