Video tular tukang masak, petugas hospital bergaduh hanya lakonan

Video tular pergaduhan membabitkan tukang masak dan petugas sebuah hospital sehingga menyebabkan seorang ditusuk pisau pada dada dan seorang lagi disimbah dengan minyak masak panas, bukan kejadian sebenar.
Video berdurasi 33 saat itu yang tular di media sosial sejak semalam, hanya lakonan atau latihan simulasi. Ia memaparkan seorang lelaki ditusuk pisau pada bahagian dada kanan, manakala seorang lagi lelaki kelihatan melecur dikatakan disiram minyak masak panas.
Dalam rakaman berkenaan, mangsa juga dilihat dibawa menaiki pengusung ke arah ambulans oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Video berkenaan yang banyak dikongsikan di pelbagai platform media sosial, mencetuskan kegemparan orang ramai yang rata-ratanya percaya kejadian itu adalah benar.
Setakat ini, pihak media masih menunggu kenyataan rasmi daripada Hospital Taiping berhubung simulasi terbabit, namun Timbalan Ketua Polis Daerah Taiping, Superintenden Razlam Ab Hamid, mengesahkan ia hanya latihan.
Ketika dihubungi Berita Harian, Razlam menjelaskan, kejadian berkenaan adalah simulasi yang dibuat Hospital Taiping pada semalam dan hari ini.