Video tular remaja dimandi seperti ‘jenazah’, pihak masjid tetap pendirian tak akan mohon maaf

Video tular remaja dimandi seperti ‘jenazah’, pihak masjid tetap pendirian tak akan mohon maaf

 

Pihak Ahli Jawatankuasa (AJK) Masjid Al Islahiah berpendirian tidak akan tunduk terhadap permintaan bapa kepada remaja yang videonya tular dimandikan seperti ‘jenazah’, untuk membuat permohonan maaf secara terbuka.

FMT dimaklumkan oleh datuk kepada remaja terbabit, Rosli Sidek, 65, bahawa bekas menantunya itu dikatakan mahu mengambil tindakan undang-undang, selain meminta pihak masjid membuat permohonan maaf kerana telah memalukan anaknya.

“Dia (bapa Daniel) ada maklumkan nak buat saman, dia dah pasang peguam,” katanya ketika ditemui FMT, petang tadi.

AJK masjid yang enggan dinamakan berkata, bagaimanapun pihaknya telah membuat pertemuan secara aman dengan bapa remaja tersebut dan setakat ini tiada masalah di antara mereka.

Mengulas berkenaan video tular tersebut, pihak AJK berkata, tindakan itu tidak boleh dianggap sebagai satu penderaan kerana apa yang dilakukan bertujuan memberi pengajaran kepada remaja itu.

Tambahnya, bukan pihak masjid yang bertindak menularkan video tersebut dan mereka sendiri sedang mencari individu bertanggungjawab menularkan video itu di media sosial.

“Niat kami adalah untuk bantu membentuk budak itu agar jadikan pengajaran, tetapi yang buat hal adalah orang yang menularkan video tersebut, sekarang kami tengah cari siapa yang tularkan,” kata AJK masjid.

Sementara itu, pihak AJK juga berharap agar imam masjid, dikenali sebagai ‘Ustaz Dahlan’ dapat kembali berkhidmat dan berharap agar masyarakat berhenti memberi tanggapan negatif kepada pihak pengurusan masjid.

“Kalau boleh mahukan dia (Ustaz Dahlan) semula, kami dari pihak masjid mahu perkara ini diselesaikan, sebab benda ini akan memalukan kampung walaupun kita bercakap benar, orang luar masih akan bagi pelbagai tanggapan terhadap kami,” katanya.

Terdahulu, FMT melaporkan imam berkenaan sudah meletakkan jawatan selepas diminta berbuat demikian oleh pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Perkara itu disahkan Exco Hal Ehwal Agama Islam Selangor Mohd Zawawi Ahmad Mughni kepada FMT.

Isnin lalu, tular video memaparkan seorang remaja dimandikan seperti ‘jenazah’ selepas ditangkap kerana mencuri tabung di Masjid Al Islahiah Kuang, Rawang pada jam 11.58 malam, 8 Jan lalu.

Dia turut dilumur dengan kapur barus oleh ahli pengurusan masjid dan diawasi oleh beberapa penduduk kampung berkenaan.

Kalangan warganet menyokong tindakan pengurusan masjid itu sebagai pengajaran kepada remaja berkenaan.

Bagaimanapun, ada warganet berpendirian pihak masjid tidak menghormati undang-undang dengan melayan remaja itu sedemikian.

Remaja berkenaan, Daniel Iskandar, 19, dipenjara 10 hari dan denda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Selayang selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.