[Video] Suami dimarahi isteri gara-gara hasilkan bunyi ketika buka kelopak mata

[Video] Suami dimarahi isteri gara-gara hasilkan bunyi ketika buka kelopak mata

Seorang lelaki mendedahkan dia dimarahi isterinya kerana mengeluarkan bunyi ketika mata terbuka, lapor akhbar Daily Star, kelmarin.

Pengguna TikTok yang hanya dikenali sebagai Santiago berkongsi perkara-perkara tidak masuk akal yang menjadi penyebab dia dimarahi isteri.

“Minggu ini, kesalahan saya adalah menghasilkan bunyi ketika membuka kelopak mata saat mengejutkan isteri bangun tidur.

“Saya perlu belajar untuk membuka mata dengan lebih perlahan,” ujarnya.

Tambah Santiago, antara perkara lain yang menimbulkan kemarahan isterinya adalah apabila dia makan di restoran tanpa isterinya ketika mereka belum berkenalan.

“Saya sepatutnya tahu bahawa dia akan hadir dalam hidup saya dan menunggunya.

“Selain itu, apabila makan tanpa isteri ketika dia masih di kerja, saya patut tahu yang saya perlu berlapar meskipun sehingga tempoh 24 jam sehinggalah dia pulang ke rumah,” kongsinya.

Bagaimanapun, Santiago mengakui bahawa dia hanya bergurau dan senarai tersebut telah ditokok tambah olehnya dengan tujuan untuk mengusik.

“Isteri saya berpendapat ia amat kelakar dan dia tahu bahawa kebanyakannya telah ditokok tambah meskipun ada yang benar-benar terjadi,” katanya.

Klip video asal tersebut telah ditonton lebih daripada 7.9 juta kali dengan ribuan komen, dan ia mencetuskan perbahasan dalam kalangan pengguna lain. – Agensi