[Video] Remaja maut tahan lori secara tiba-tiba

[Video] Remaja maut tahan lori secara tiba-tiba

Sekitar beberapa hari yang lalu, wilayah Tenggerang Selatan, Indonesia dikejutkan dengan berita seorang remaja maut selepas menahan sebuah lori secara tiba-tiba demi menghasilkan kandungan video untuk paparan pengikutnya.

Sepertinya anak-anak muda di Indonesia masih belum mengambil iktibar daripada kejadian maut itu.

Terbaharu, tular sebuah video di media sosial yang memaparkan aksi berani mati sekumpulan empat orang remaja yang nekad menahan sebuah lori secara tiba-tiba di tengah jalan raya di Perempatan Sentul Bogor malam semalam, lapor media Berita Hits Indonesia.

Menerusi perkongsian video berkenaan, dapat dilihat sekumpulan remaja itu berlari ke tengah jalan raya lalu bertindak untuk menahan sebuah lori yang pada ketika itu sedang dipandu laju.

Tidak sempat menekan pedal brek, pemandu lori berkenaan terpaksa mengheret dan menggilis salah seorang remaja yang berlari ke hadapan lorinya.

Manakala ketiga rakan mangsa yang lain sempat mengelak sebelum dilanggar oleh pemandu lori berkenaan. Difahamkan, aksi malang tersebut sempat dirakam oleh seseorang individu yang berada di seberang jalan di lokasi kejadian.

Namun setakat ini, masih belum khabar berita yang selanjutnya mengenai keadaan remaja yang digilis lori itu dan apa tujuan sebenar mereka bertindak sedemikian.

Dalam pada itu, salah seorang netizen di Indonesia mendakwa bahawa sekumpulan remaja berkenaan merupakan ‘tukang palak’ iaitu kegiatan jenayah yang bertindak untuk menahan lori lalu memeras wang daripada pemandunya di tengah jalan raya.

Namun tidak dapat dipastikan tujuan sebenar remaja berkenaan bertindak sedemikian. – TV