[Video] Rakaman CCTV Faisal Halim disimbah asid tular di media sosial

[Video] Rakaman CCTV Faisal Halim disimbah asid tular di media sosial

 

Tular di media sosial sebuah rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) yang didakwa memaparkan kejadian pemain kebangsaan, Faisal Halim disimbah asid pada 5 Mei lalu.

Video berdurasi 56 saat itu dimuat naik di beberapa akaun media sosial peminat bola sepak negara sehingga mendapat perhatian orang ramai.

Kelihatan di awal video, seorang lelaki berbaju hitam dan bertopi sedang menunggu di belakang sebuah kereta hitam sambil memerhatikan Faisal sedang berjalan ke arah keretanya.

Selepas 10 saat kemudian, ketika Faisal ingin membuka pintu kereta, lelaki yang memakai baju hitam berkenaan segera menyimbah asid terhadapnya berkali-kali.

Suspek kemudiannya melarikan diri bersama seorang lagi rakannya yang sedang menunggu bersama motosikal tidak jauh dari lokasi kejadian.

 

Isteri Faisal, Nur Syazwani Mizuana Shahril yang memakai tudung putih di samping Faisal ketika kejadian juga difahamkan turut tercedera di bahagian badan selepas terkena percikan simbahan asid itu.

Kelihatan di dalam video CCTV itu, Nur Syazwani cuba mengejar motosikal suspek, namun tidak berjaya sebelum meminta pertolongan daripada orang ramai yang berada di sekeliling.

Bagaimanapun, kesahihan video tersebut tidak dapat dipastikan ekoran tiada pengesahan lanjut daripada pihak berkuasa.

Namun, menurut pemerhatian pengamal media yang mengikuti tinjauan lokasi kejadian, kawasan tempat di dalam video tular itu sememangnya menggambarkan pintu masuk sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya di mana lokasi malang tersebut berlaku.

Terdahulu, kejadian malang telah menyebabkan Faisal atau lebih mesra disapa Mickey mengalami kecederaan melecur tahap empat selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali.

Pada 19 Mei lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengeluarkan fotofit suspek yang disyaki berusia lingkungan 30-an serta berketinggian 165 sentimeter.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, suspek juga mempunyai kulit sawo matang selain bersaiz badan sederhana.

Lakaran fotofit itu akan dibuat berdasarkan bantuan saksi dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.

Setakat ini, lebih 12 individu telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan.