[Video] Pukul penunggang basikal, polis panggil pemandu Proton Wira

[Video] Pukul penunggang basikal, polis panggil pemandu Proton Wira

 

Polis sudah mengenalpasti lelaki yang bertindak memukul seorang lelaki warga asing menggunakan besi di persimpangan lampu isyarat di Jalan Seri Manjung – Segari, di sini.

Hari ini tular di laman sosial, rakaman video berdurasi 53 saat yang dirakam menggunakan kamera papan pemuka (dashcam) memaparkan seorang lelaki yang memandu kereta Proton Wira berhenti di susur kiri jalan sebelum keluar sambil memegang besi.

Lelaki terbabit secara tiba-tiba bertindak memukul seorang lelaki yang menunggang basikal ketika dia berhenti di lampu isyarat sebelum meneruskan perjalanannya.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, kejadian membabitkan suspek yang memandu kereta Proton Wira dengan mangsa yang menunggang basikal itu berlaku pada 13 Mac lalu.

Katanya, susulan video tular berkenaan pihaknya sudah mengenal pasti suspek yang akan hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung untuk memberi keterangan berkaitan kejadian itu.

“Kita mengesan pemilik kereta berkenaan iaitu seorang lelaki warga tempatan yang berasal dari Ayer Tawar, Manjung. Lelaki berusia 50-an itu memaklumkan keretanya dipinjam oleh rakannya iaitu suspek pada hari kejadian.

“Susulan itu, kita juga sudah mengenal pasti suspek berusia 30-an yang berasal dari Batu Gajah dan dia akan datang untuk beri keterangan esok,” katanya ketika dihubungi, malam ini.

Nor Omar berkata, mangsa masih belum dikenal pasti dan sehingga kini belum tampil membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

Katanya, justeru, orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Manjung di talian 05-6886222 atau mana-mana Balai Polis berhampiran untuk membantu siasatan.