[Video] “Pukul dengan penyapu bagi anak sekecil itu, sangat kejam” – Peguam
![[Video] “Pukul dengan penyapu bagi anak sekecil itu, sangat kejam” – Peguam [Video] “Pukul dengan penyapu bagi anak sekecil itu, sangat kejam” – Peguam](https://beritaperak.com/wp-content/uploads/2021/12/pukul-e1639624602945.jpeg)
Awal pagi tertonton video ini. Panaslah hati saya.
Umum sedia tahu bahawa perbuatan begini memang adalah merupakan kesalahan undang-undang. Jadi saya tidak mahu sentuh isu tentang undang-undang.
Sebagai ibu dan bapa, saya tidak faham konsep mendisplinkan secara kasar, jahat, dera begini. Kalau dilihat dari video anak itu kurang dari 2 tahun atau mungkin 2 tahun lebih. Link video di ruang komen.
Usia begini, pemikirannya untuk mentafsirkan perbuatan salah dan menerima arahan tegas masih belum berkembang. Kalau kita kata jangan conteng dinding, sekejap sahaja dia faham. Kemudian dia ulang semula.
Mendera anak dengan tujuan dia menerima arahan adalah perbuatan yang kejam dan tidak munasabah. Hanya memuaskan hati pelaku yang geram sahaja. Kesannya kekal kepada anak-anak ini, mereka akan jadi sama ada penakut, kurang keyakinan atau mungkin kasar atau pendera.
Kalau hendak tidurkan anak, perlu dibelai, ditepuk. Paling pemalas sekalipun dibiarkan sahaja anak bermain sehingga letih dan tertidur. Jangan dera jiwa-jiwa kecil ini.
Memukul dengan penyapu lidi berulang kali dengan arahan “Tidur.Tidur” bagi anak sekecil itu, sangat kejam. Saya bayangkan setiap kali anak ini ingin tidur perlu berhadapan dengan situasi begini. Mimpi seram sebelum bermulanya tidur.
Saya ada dirujuk dan mengendalikan satu kes, seorang kanak-kanak berusia bawah 6 tahun yang diabaikan dan didera. Badannya penuh kesan luka. Itu kesan fizikal. Kasihan.
Secara mentalnya juga memberi kesan, seawal usia ini dia telah membunuh anak kucing. Anak kucing yang mati itu, dijadikan eksperimen. Dia ingin tahu. Dia ambil lidi dicucuknya mata dan telinga kucing yang mati ini.
Barangkali kesan penderaannya yang berpanjangan, menyebabkan dia berpendapat mendatangkan kecederaan pada tubuh badan adalah penyelesaian. Barangkali dia ingin tahu apa perasaannya mendatangkan kecederaan kepada tubuh badan seperti mana dia diperlakukan begitu.
Kes ini di Malaysia. Kali pertama saya mendengar kes ini, terasa seperti satu babak dalam filem Hollywood. Tidak. Situasi yang sebenar. Malahan seawal usia ini, dia mula berfikir untuk membunuh diri.
Kes-kes begini memang akan dirujuk kepada pakar psikiatri tetapi sejauh mana kesan yang telah berlaku dapat “undo” atau diterbalikkan semula? Kerana kegilaan manusia kejam yang bergelar ibu bapa yang telah merosakkan pemikiran dan masa hadapan anak ini.
Sewaktu saya kecil juga ibu saya tegas. Kalau nakal pasti ada hukuman, kalau keterlaluan ada juga dicubit dan dipukul di punggung. Tetapi bukan sehingga mendera. Tidak!
Generasi waktu saya faham, ini cara ibu bapa mendisplinkan. Mereka bukan memuaskan hati sewaktu memukul cuma mahu kita faham untuk setiap kesalahan ada hukuman. Dipukul kerana mencarut, dipukul kerana tampar kawan, dipukul kerana main disungai sehingga maghrib. Ternyata perbuatan salah.
Tetapi yang berlaku sekarang adalah penderaan yang memuaskan hati si pelaku. Dibelasah, dipijak, dicucuh api, dimasukkan cili ke dalam mulut, dibaling ke dinding. Semata-mata anak enggan tidur, anak enggan makan, anak merenggek minta susu. Gila!
Tolonglah, jadi manusia, berfikir secara manusia. Jangan dera anak-anak.
Oleh Nor Zabetha