[Video] Polis tembak mati lima penjenayah, disyaki aktif samun bersenjata api

[Video] Polis tembak mati lima penjenayah, disyaki aktif samun bersenjata api

 

Lima penjenayah ditembak mati oleh polis dalam kejadian pada jam 11.30 malam tadi di Persiaran Harmoni, Putra Heights.

Sebelum kejadian, sepasukan polis peronda yang melakukan rondaan di lokasi mendapati kenderaan Perodua Axia yang dinaiki suspek berusia antara 25 hingga 30 tahun itu berada dalam keadaan mencurigakan.

Polis mengarahkan suspek berhenti untuk tujuan pemeriksaan. Namun suspek terus memecut dan melepaskan beberapa das tembakan ke arah polis.

Pasukan polis cuba mengepung tetapi kenderaan mereka dirempuh oleh suspek dari bahagian belakang yang dalam masa sama berterusan melepaskan tembakan.

Bagi tujuan mempertahankan diri, polis membalas tembakan ke arah suspek.

Kesemua suspek didapati mati di lokasi dan polis menemui dua senjata api yang digunakan suspek. Polis percaya, suspek dalam perancangan untuk melakukan jenayah sebelum diarahkan berhenti.

Semakan lanjut kemudian mendapati, kesemua suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan dikehendaki polis atas kes berkaitan samun bersenjata di sekitar Lembah Klang sejak dua tahun lalu.

Menurut laporan Harian Metro, suspek aktif menyamun wang tunai dari van syarikat penghantaran, kilang dan rumah individu yang menyimpan wang tunai dan barang kemas di sekitar Shah Alam, Puchong, Klang, Subang Jaya, Kajang dan Sentul.