[Video] Pikul keranda sejauh 1 kilometer, empat petugas KKM buat ramai terharu

[Video] Pikul keranda sejauh 1 kilometer, empat petugas KKM buat ramai terharu

 

 

Video yang memaparkan kesusahan beberapa petugas Kementerian Kesihatan (KKM) yang lengkap berpakaian peralatan pelindungan diri (PPE) memikul keranda berisi jenazah bukan Islam menjadi tular sejak dua hari lalu dan mendapat pujian orang ramai.

Video berdurasi 1 minit 43 saat itu memaparkan pengorbanan empat petugas yang mengharungi cabaran dalam menyempurnakan urusan pengebumian seorang lelaki Orang Asli yang mati akibat Covid-19 di Kampung Jeram Kedah, Lenggeng pukul 1 tengah hari pada Jumaat lalu.

Sehingga pukul 6 petang tadi, video berkenaan telah dikongsi sebanyak 180 kali dan mendapat 553 reaksi serta 105 komen.

Menurut Mohd. Adree Zazalee, 37, dia memuat naik hantaran itu di Facebook bagi memberi mesej kepada orang ramai mengenai bahaya Covid-19 serta pengorbanan petugas kesihatan.

“Ini kali pertama kami menguruskan kematian Covid-19 membabitkan Orang Asli di daerah Seremban. Kami dimaklumkan lokasi tanah perkuburan tidak sesuai untuk dibawa kenderaan dan atas sebab itu, kami harus memikul keranda sejauh kira-kira satu kilometer.

“Kami mengambil masa selama 30 minit untuk sampai ke tanah perkuburan yang telah digali oleh penduduk. Dua kali juga kami berhenti berehat dan dalam cuaca agak panas.

“Kami yang lengkap berpakaian PPE tidak boleh minum air sehingga semua urusan pengebumian dibuat serta sanitasi diri dilakukan,” katanya ketika dihubungi, di sini, tadi.

Mohd. Adree berkata, dia berharap video dan hantaran berkenaan dapat meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai bahaya Covid-19 dan memahami tugas serta cabaran yang harus dilalui petugas barisan hadapan.

Sumber: Kosmo