[Video] Persenda azan dan ayat suci al-Quran, tiga lelaki mohon maaf pada semua umat Islam

[Video] Persenda azan dan ayat suci al-Quran, tiga lelaki mohon maaf pada semua umat Islam

 

Tiga lelaki yang dipercayai terlibat dalam satu rakaman video seolah-olah mempersenda azan dan ayat suci al-Quran tampil membuat permohonan hari ini.

Ketiga-tiga mereka memuat naik rakaman video mengakui kesilapan yang telah mereka lakukan dan meminta maaf kepada seluruh umat Islam Malaysia.

Salah seorang pemuda terbabit yang hanya memperkenalkan dirinya sebagai Ruban berkata, dia memohon maaf kepada semua umat Islam diatas kesilapannya.

“Saya tiada niat perli umat Islam. Dalam video itu saya tidak boleh menahan kepedasan apabila kami mengadakan “challenge” (makan pedas) lalu saya letak kedua-dua tangan di telinga dan pada masa itu kawan saya suruh saya mengulanginya sambil membuat (rakaman) video.

“Dia melafazkan ayat yang memang tidak sepatutnya. Saya kecewa atas apa yang berlakunya dalam video tersebut. Saya memohon maaf diatas kesilapan kami dan berjanji tidak mengulanginya lagi,” katanya.

Rakannya yang hanya dikenali sebagai Brandon Eng pula berkata, dia sebagai individu yang merakam video itu turut memohon maaf di atas kesilapan yang dia lakukan.

Menurutnya, dia merakam video itu untuk tujuan ‘main-main’ dan tidak tahu ia sesuatu yang serius.

“Saya sepatutnya tidak boleh melafazkan ayat tersebut. Tolong maafkan kami dan kami tidak akan melakukan perbuatan seperti ini selepas ini,” katanya.

Seorang lagi pemuda dikenali sebagai Ryan berkata, dia berasa kecewa dengan apa yang berlaku dalam rakaman video tersebut.

Katanya, dia dan rakan-rakannya menghormati dan mencintai semua agama di Malaysia, maka mereka meminta maaf dengan sepenuh hati.

Terdahulu satu rakaman video berdurasi 31 saat menunjukkan beberapa lelaki kelihatan seperti mempersenda azan dan ayat suci al-Quran tular di media sosial.

Perbuatan itu menerima kecaman orang ramai yang mahu Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan terhadap mereka di atas dakwaan menghina Islam.

Sumber: Kosmo