[Video] Pangkah Barisan Nasional dapat RM250?

[Video] Pangkah Barisan Nasional dapat RM250?

 

Satu klip video berdurasi 4 minit 10 saat yang tular di media sosial mencetuskan persoalan kemungkinan berlaku sogokan kepada pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan berlangsung 12 Mac depan.

Klip video berkenaan yang melibatkan seorang wanita dikenali sebagai ‘Kak Nor’ dan seorang pemuda dikenali sebagai ‘Zul’ yang juga pemandu Grab di Kuala Lumpur dimuat naik dalam laman Facebook Shahril Rani (Raja Emel) hari ini.

Shahril Rani yang juga bekas wartawan foto The New Straits Times Press ketika memberi ulasan terhadap klip video berkenaan berkata:

“Maruah pengundi hanya RM200, murahnye!”.

Dalam klip video berkenaan yang dirakam seorang rakan ‘Zul’, ‘Kak Nor’ yang dipercayai penyokong kuat Barisan Nasional (BN) menghubunginya dan menawarkan RM250 kepada pemuda itu sekiranya mengundi BN.

‘Kak Nor’ pada awalnya didengar menawarkan RM50 kepada ‘Zul’ sebagai duit minyak untuk pulang mengundi pada PRN Johor 12 Mac depan.

Wanita itu juga kemudian menawarkan RM200 lagi sekiranya pemuda berkenaan memangkah calon BN.

Bagaimanapun, ‘Kak Nor’ mengenakan syarat supaya ‘Zul’ merakam gambar kertas undi yang berpangkah calon BN dan menunjukkannya sebagai bukti sebelum diberikan RM200.

“Kak Nor bagilah kau duit minyak lima puluh ringgit,” demikian kata wanita itu dalam klip video berkenaan.

Bagaimanapun apabila pemuda berkenaan bertanya lebih lanjut, ‘Kak Nor’ mengatakan akan memberikan tambahan RM200 lagi dengan syarat yang ditetapkan itu.

Wanita terbabit juga meminta ‘Zul’ supaya memberitahu rakan-rakannya yang lain, termasuk kaum India, mengenai tawaran itu kerana katanya, BN mempunyai banyak duit untuk diberikan.

Agenda Daily tidak dapat memastikan kebenaran klip video berkenaan.

Klip video berkenaan juga tular dalam beberapa laman Facebook lain sekali gus ramai yang mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil tindakan lebih tegas.

Sebelum ini, SPRM dilaporkan membuka empat bilik gerakan di seluruh Johor, bagi membolehkan orang ramai menyalurkan maklumat serta aduan berkaitan perbuatan rasuah dan salah guna kuasa pada PRN negeri itu.

SPRM dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan, semua bilik gerakan tersebut beroperasi dari jam 8 pagi hingga 12 tengah malam, sepanjang tempoh PRN berkenaan.

Bilik gerakan itu terletak di Pejabat SPRM Johor; Cawangan Batu Pahat; Cawangan Kluang; dan Cawangan Segamat.

Orang ramai juga boleh menyalurkan sebarang aduan rasuah dan salah guna kuasa melalui aplikasi Whatsapp di talian 010-8414384, atau menerusi e-mel [email protected].

Sebelum ini, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeru bangsa Johor menolak rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang melibatkan pemimpin atasan UMNO.

Malah kata bekas Perdana Menteri kelapan itu, semua calon PN mengangkat sumpah dan menandatangani aku janji untuk menolak segala amalan rasuah dan salah guna kuasa.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) itu berkata, mereka juga berikrar memikul tanggungjawab serta amanah bagi membentuk sebuah kerajaan negeri yang bersih.